
KUCHING: Satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan bagi memastikan kelancaran majlis pembukaan rasmi Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi-Sibu/Tanjung Manis yang dijangka menjadi mercu tanda baharu di Sarikei.
Majlis perasmian Jambatan Batang Rajang dijadual berlangsung pada 17 Mei 2025 dan akan menjadi detik bersejarah bagi wilayah tengah Sarawak dalam usaha memperluaskan jaringan pengangkutan serta merangsang pembangunan sosioekonomi negeri ini.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelaburan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo, dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Mesyuarat ini bertujuan menyelaras segala persiapan dari segi logistik, keselamatan, protokol, dan atur cara majlis bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar dan teratur.
Selain itu, penglibatan komuniti setempat serta peranan agensi berkaitan turut dibincangkan bagi memastikan penyertaan dan sokongan menyeluruh terhadap majlis berkenaan.
Turut hadir Residen Mukah, Datu Kueh Leh Poh; Timbalan Residen Sarikei, Baijuri Bidin; Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah; Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah; Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli; serta wakil-wakil agensi kerajaan yang berkaitan. – UKAS