KAPIT: Projek jambatan baharu yang merentasi Batang Rajang di Nanga Yong Kapit bertujuan untuk menghubungkan kedua-dua bahagian sungai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan ini bukan sekadar projek infrastruktur, malah simbolik kepada usaha untuk menyatukan Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah.
“Kita mahu menyatukan semula kedua-dua belah pihak Malaysia dan dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya percaya bahawa negara kita akan aman dan makmur, kita akan terus maju di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak terus mengorak langkah dalam pembangunan kawasan Lembah Rajang dengan penubuhan beberapa agensi pembangunan khusus.
“Antaranya ialah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
“Ini semuanya kita tubuh untuk kita memberi fokus kepada pembangunan yang hendak kita bangunkan di Lembah Rajang,” katanya.
Justeru, Abang Johari berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar yang memberikan sokongan penuh melalui agensi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dalam usaha membangunkan kawasan tersebut.
“Saya amat senang bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar. Dia sentiasa menyokong kita, dan ini kerana keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain. Sama seperti saya percaya kepada kamu semua yang sentiasa bersatu menyokong pembangunan wilayah kita,” tambahnya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Oleh TARANI LANTING dan AKUN GIMAN