SKRANG: Sebanyak tujuh rumah panjang di kawasan Ulu Skrang termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Entalau telah terputus hubungan akibat jalan utama di jalan Nanga Belaie, runtuh, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata, antara lokasi yang terjejas iaitu Jambu Arap, Sungai Pinang, Nanga Seladong, Begantung, Menjuau, Panchor, Mejong dan termasuklah sebuah sekolah rendah iaitu SK Entalau.
Beliau berkata, Bilik Gerakan APM Lubok Antu telah menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 9.32 pagi.
“Di lokasi kejadian, anggota APM mendapati jalan Nanga Belaie juga merupakan jalan altenatif utama penduduk di Ulu Skrang runtuh dan menyebabkan tujuh rumah panjang termasuk sebuah sekolah telah terputus hubungan.
“Menurut penduduk, hujan yang berterusan semalaman telah menyebabkan struktur tanah lemah dan mengakibatkan tanah runtuh berlaku di kawasan itu,” katanya.
Desem berkata atas faktor keselamatan penduduk kampung, pita keselamatan telah dipasang agar penduduk sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan yang terputus.
“Keluasan jalan yang terjejas oleh tanah runtuh ialah sepanjang 10 kaki dan juga sedalam 20 kaki. Keadaan ini disebabkan hujan berterusan yang lebat dari malam hingga ke pagi.
“Kejadian tanah runtuh ini berisiko berlaku lagi sekiranya hujan lebat yang berterusan. Ketika pemantaun dijalankan, pihak kontraktor telah melakukan kerja membuat jalan sementara bagi kegunaan penduduk kampung dan orang awam yang menggunakan jalan tersebut,” katanya.
Oleh Adi Safarman