
SARATOK: Sejak 2022, jalan berbatu di Kampung Pagan telah dinaik taraf secara berfasa melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP dan Jalan Perhubungan Desa (JPD) daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata terkini projek menaik taraf jalan berbatu kepada jalan konkrit dan fasa seterusnya akan dilaksanakan melalui peruntukan RTP dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Projek menaik taraf jalan berbatu kepada jalan konkrit akan memberikan keselesaan buat penduduk di kawasan Kampung Pagan apabila siap nanti. Projek tersebut akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik menerusi proses cabutan undi oleh Pejabat Residen Bahagian Betong nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka bersama agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengadakan lawatan tapak bagi projek menaik taraf jalan pertanian di Kampung Pagan semalam.
Dalam masa sama, Mohamad Duri turut mengucapkan terima kasih kepada kepada pihak KKDW kerana telah meluluskan peruntukan bagi tujuan pelaksanaan projek JPD iaitu menaik taraf jalan pertanian di kawasan DUN Kalaka.
Katanya, kelulusan projek tersebut amat bermakna terutamanya dalam memudahkan pergerakan keluar masuk selain bakal merancakkan aktiviti sosio ekonomi penduduk di kawasan terlibat.
“Kita juga turut memfokuskan kepada keperluan infra seperti jalan yang merupakan keperluan asas yang paling utama terdahulu seperti jalinan jalan ke kawasan kebun.
“Projek seperti naik taraf jalan-jalan kebun yang lain juga di kawasan DUN Kalaka turut dicadang dimasukkan melalui RTP, ada projek yang telah siap, ada yang dalam proses dan ada projek pembangunan pertanian yang masih di peringkat kajian awal untuk dilaksanakan,” katanya.
Oleh Adi Safarman