KUCHING : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden, Kota Samarahan.
Beliau berkata, operasi penutupan jalan yang dilakukan hanyalah untuk mengehadkan pergerakan keluar masuk di dua lokasi tersebut bermula semalam hingga 30 April nanti.
“Tindakan mengehadkan pergerakan keluar masuk ke dua lokasi ini adalah untuk membolehkan aktiviti pengesanan secara aktif kes Covid-19 dilakukan dengan lebih berkesan di kawasan tersebut.
“Ingin saya perbetulkan di sini, ia adalah operasi mengehadkan pergerakan dalam kawasan berkenaan sahaja dan belum lagi mencapai standard tinggi untuk dijalankan dengan PKPD,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurut Uggah, semasa operasi ini dijalankan, orang luar tidak dibenarkan masuk supaya kerja pengesanan aktif kes Covid-19 di dua kawasan ini berjalan dengan lancar.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) turut menyediakan tempat saringan kesihatan di dalam Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, matlamat operasi itu adalah untuk pencegahan dan kawalan termasuk pengesanan kes secara aktif, pengesanan kontak rapat kepada kes positif, dan menjalankan saringan ujian Covid-19.
“Kawasan ini dipilih kerana dalam tempoh 14 hari yang lepas terdapat 20 kes dilaporkan yang melibatkan dua kematian.
“Hal ini menunjukkan bahawa virus ini masih menular dalam kawasan tersebut dan strategi yang lebih agresif perlu diambil untuk memutuskan rantaian dan penularan virus secara lebih berkesan,” tegasnya.
Tambahnya, operasi bersepadu ini melibatkan sejumlah 5,300 buah rumah di dua kawasan tersebut dengan diketuai Residen Samarahan dan dianggotai 120 petugas dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 2.6 juta topeng penutup mulu dan hidung telah diedarkan kepada 572,141 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan enam keping topeng diberikan kepada penduduk di kawasan Zon Merah dan empat keping diberikan kepada penduduk di kawasan Zon Kuning dan Hijau.
Beliau menasihatkan semua rakyat untuk menggunakan topeng penutup mulut dan hidung untuk perkara penting sahaja seperti pergi ke tempat awam yang sesak atau lebih berisiko seperti pasar raya, bank dan hospital kerana mungkin susah untuk mengekalkan penjarakan sosial.
Beliau turut menggesa individu yang mempunyai gejala batuk, sesak nafas, demam dan keletihan untuk menggunakan topeng penutup mulut dan hidung dan mendapatkan khidmat perubatan dengan segera.