

BINTULU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Bintulu menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM82,633 kepada 217 penerima terdiri daripada golongan asnaf, pelajar tahfiz, serta pusat tahfiz dalam Iftar Perdana Bersama Asnaf, malam tadi.
Ketua Bahagian TBS Bintulu, Zaini Ramli berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban penerima sepanjang bulan Ramadan serta membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal.
Menurutnya, TBS sentiasa komited dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela melalui pelbagai program bantuan dan inisiatif yang berterusan.
“Kita juga berharap majlis ini dapat merapatkan ukhuwah dalam kalangan kita.
“Dengan saling mengenali, kita dapat bekerjasama untuk memajukan masyarakat Islam di Bintulu,” katanya pada majlis berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Seksyen Perancangan Strategik dan Pelaksanaan Projek mewakili Residen Bahagian Bintulu, Hanifah Marais serta ketua masyarakat dan wakil TBS Bahagian Bintulu.
Sehingga Februari lalu, TBS telah mengagihkan RM13.26 juta kepada golongan asnaf yang layak di seluruh Sarawak melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah, dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
OLEH CAROLYNE UTIH