Jadual SPM 2026 dijangka diumumkan hari ini – KP Pendidikan

Facebook
WhatsApp
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad menyampaikan perkembangan mengenai jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang dijangka diumumkan petang ini selepas mendapat persetujuan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dijangka diumumkan petang ini selepas mendapat persetujuan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Beliau berkata cadangan penambahbaikan jadual peperiksaan itu akan dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan kepada Fadhlina hari ini untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Kalau tidak ada apa-apa isu, kalau boleh tandatangan, kita akan keluarkan (jadual SPM 2026) petang ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, di sini hari ini.

Beliau berkata penyediaan jadual baharu itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk kebimbangan berkaitan beberapa kertas peperiksaan, yang sebelum ini sering dijadualkan pada penghujung tempoh peperiksaan.

“Bila kita ambil semua pandangan, kita nak buat sedikit penambahbaikan … kita terpaksa ambil masa untuk berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata faktor lain yang turut diteliti ialah Monsun Timur Laut, kejadian jerebu yang boleh berlaku pada hujung tahun, serta tempoh cuti persekolahan bagi memastikan jadual yang ditetapkan tidak memberikan implikasi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.

“Semuanya kita teliti, sebab itu bila kita hendak buat perubahan, saya nak perkara (Jadual SPM 2026) ini diteliti betul-betul,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting supaya sebarang perubahan jadual peperiksaan mengambil kira keadaan pada peringkat negeri dan sekolah serta kepentingan calon dan ibu bapa.

“Kita di Kementerian Pendidikan akan cuba berikan yang terbaik untuk JPN, PPD dan juga sekolah, terutamanya anak-anak yang akan menduduki peperiksaan SPM dan juga kepada ibu bapa,” katanya.

Mohd Azam berkata dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan yang berlangsung semalam, beliau turut memberikan gambaran awal mengenai perubahan yang dicadangkan.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai kebimbangan ibu bapa dan calon terhadap tarikh serta jadual peperiksaan SPM 2026, dengan ada yang mempersoalkan kelewatan pengumuman jadual berkenaan. – Bernama

Sekolah di Serian dibuka semula esok

KUCHING: Semua sekolah menengah dan rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai esok. Jabatan

SEDAR rasmi tukar nama kepada WAWASAN

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) kini secara rasmi menggunakan nama Parti Wawasan Rakyat (WAWASAN) selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan