Jadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa, laporkan segera aktiviti pembakaran terbuka

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN hutan di Jalan Kejatau-Lingga yang telah berlarutan selama tujuh hari akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya, hari ini. Foto Bomba Zon 3 Sarawak

SIMANGGANG: Masyarakat diingatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran, terutama ketika keadaan cuaca panas dan berangin.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, pencegahan kebakaran terbuka memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran yang berpotensi menyebabkan api merebak dengan cepat serta menghasilkan asap yang boleh menjejaskan kawasan sekitar.

“Jangan melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan api merebak dan menghasilkan asap sehingga menjejaskan kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, petang ini.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya ternampak sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencurigakan.

Beliau menegaskan bahawa usaha mencegah kebakaran bukan hanya menjadi tanggungjawab JBPM, sebaliknya memerlukan kesedaran dan tindakan bersama daripada seluruh masyarakat.

“Mencegah kebakaran adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan tunggu sehingga api menjadi besar,” katanya.

Dalam pada itu, kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga yang telah berlarutan selama tujuh hari akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya, hari ini.

Kebakaran tersebut dianggarkan menjejaskan kawasan seluas kira-kira 80 hektar sebelum operasi pemadaman diselesaikan oleh pasukan bomba.

Dengan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya, operasi di lokasi berkenaan turut ditamatkan selepas memastikan tiada lagi ancaman api yang boleh merebak ke kawasan berhampiran.

Sepanjang operasi, pasukan bomba berdepan beberapa cabaran termasuk kekurangan sumber air terbuka seperti parit yang menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air bagi kerja-kerja pemadaman.

Selain itu, faktor cuaca khususnya angin kencang turut menyebabkan api mudah merebak, sekali gus meningkatkan cabaran kepada pasukan penyelamat untuk mengawal kebakaran.

Akses jalan yang sempit ke kawasan kebakaran turut menjadi antara permasalahan semasa operasi, namun usaha berterusan pasukan bomba membolehkan kebakaran seluas kira-kira 80 hektar itu dipadamkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, masyarakat sekali lagi dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah risiko pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil sebelum api menjadi lebih besar.

Oleh Adi Safarman