KUALA LUMPUR: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak sekali lagi membuktikan keupayaan mereka dalam inovasi apabila meraih dua Anugerah Emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.
Pengiktirafan ini diberikan kepada Smart Patrol dari JTS Bahagian Mukah dan i-Telcos (Sistem Aplikasi Pintar Menara Telekomunikasi) dari JTS Samarahan, kedua-duanya menampilkan penyelesaian inovatif yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang masing-masing.
Selain itu, Retrace dari JTS Sri Aman dan SARCOM (Sarawak Control Monument) dari JTS Kapit turut mencatat kejayaan apabila masing-masing meraih Anugerah Perak.
Anugerah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Prof Ir Dr Kaharudin Dimyati, sebagai penghargaan terhadap projek yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga mempunyai potensi untuk dikembangkan secara lebih meluas.
“Ini penyertaan kedua kami dalam kategori ini, dan pencapaian ini menunjukkan bahawa JTS bukan sahaja menerajui inovasi dalam sektor tanah dan ukur, tetapi juga bersedia mengadaptasi teknologi terkini bagi memberikan penyelesaian lebih baik,” kata wakil JTS Sarawak.
Lebih membanggakan, JTS Sarawak turut membawa pulang tiga Anugerah Emas dalam kategori Public Service Innovation Asia (PSIA) semalam, menjadikan keseluruhan pencapaian mereka tahun ini semakin luar biasa.
MTE 2025 menyaksikan 438 projek inovasi dipamerkan oleh organisasi, syarikat, serta penyelidik dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform yang kompetitif bagi mengetengahkan idea-idea baharu.
Dengan kejayaan ini, JTS Sarawak terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.