Jabatan Perikanan teliti penggunaan dron bantu nelayan kurangkan kos operasi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SERAH BANTUAN… Ketua Wilayah Perikanan III, Miri, Muhamad Saini Suliansa menyampaikan jaket keselamatan kepada salah seorang penerima pada majlis Interaksi Bersama Komuniti Nelayan Daerah Bintulu dan Penyerahan Bantuan Peralatan Lokasi Penemuan di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

BINTULU: Jabatan Perikanan Laut Sarawak akan meneliti cadangan memperluas penggunaan dron dalam kalangan nelayan sebagai kaedah mengesan lokasi kumpulan ikan, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi penangkapan di laut.

Ketua Wilayah Perikanan III, Miri, Muhamad Saini Suliansa berkata, penggunaan teknologi itu berpotensi meningkatkan kecekapan nelayan, khususnya dalam mengesan ikan pelagik seperti selayang dan bubuk tanpa perlu menghabiskan masa berjam-jam mencarinya.

Menurutnya, cadangan berkenaan akan dibincangkan di peringkat pengurusan Jabatan Perikanan di Kuching dan Putrajaya bagi menilai kesesuaiannya untuk diperluas kepada komuniti nelayan.

“Kalau tuan-tuan guna dron untuk mencari ikan pelagik, tuan-tuan boleh jimatkan kos penggunaan minyak. 

“Tuan-tuan tidak perlu mengejar ke mana-mana selama empat hingga lima jam, malah sehingga enam jam sehari untuk mencari ikan,” katanya.

KETUA Wilayah Perikanan III, Miri, Muhamad Saini Suliansa bergambar bersama wakil penerima bantuan selepas menyampaikan jaket keselamatan dan bantuan Suar Pengesan Peribadi (PLB).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Interaksi Bersama Komuniti Nelayan Daerah Bintulu dan Penyerahan Bantuan Peralatan Touch Point di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.

Tambahnya, penggunaan dron bukan sahaja membantu nelayan mengenal pasti kawasan tumpuan ikan dengan lebih cepat, malah berpotensi meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Beliau juga menggalakkan komuniti nelayan memanfaatkan teknologi baharu dengan mendapatkan bantuan golongan muda yang lebih mahir mengendalikan peralatan digital bagi meningkatkan produktiviti sektor perikanan.

Muhamad Saini turut menggesa nelayan memanfaatkan pelbagai kemudahan perlindungan sosial dan pembiayaan yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Agrobank bagi meningkatkan kebajikan serta mengembangkan aktiviti perikanan.

Menurutnya, Perkeso menawarkan pelbagai skim perlindungan sosial khusus untuk nelayan.

“Agrobank pula menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membantu mereka mendapatkan modal untuk membaiki enjin dan vesel, selain mengembangkan perusahaan perikanan,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 61 nelayan menerima jaket keselamatan, manakala enam lagi menerima Suar Pengesan Peribadi (PLB) di bawah program Lokasi Penemuan sebagai usaha meningkatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Program itu turut menghimpunkan komuniti nelayan bersama agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Perkeso, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Agrobank bagi berkongsi maklumat mengenai perlindungan sosial, kemudahan pembiayaan serta inisiatif kerajaan kepada komuniti nelayan.

Oleh Carolyne Utih