AMSTERDAM: Jabatan Muzium Sarawak telah menerima sumbangan berupa 27 meriam miniatur daripada Peter Hamer, seorang jurutera yang pernah berkhidmat di Sarawak, dalam satu majlis simbolik yang berlangsung di Hotel Sofitel Legend The Grand, Amsterdam.
Koleksi meriam ini diserahkan kepada Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Nancy Jolhi dan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menterinya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datu Sherrina Hussaini.
Peter adalah jurutera di Sarawak Shell Berhad Miri dari 1976 hingga 1984, menyumbangkan koleksi ini dengan niat untuk mengembalikan artifak bersejarah tersebut kepada Sarawak, negeri di mana ia memiliki nilai budaya yang mendalam dan mencerminkan kekayaan warisan tempatan.
Sumbangan ini memastikan artifak bernilai itu dapat dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang di tempat asalnya.
Meriam-miniatur ini, yang diukir dengan seni halus dan mencerminkan keindahan warisan seni Borneo kini menjadi sebahagian daripada koleksi berprestij Muzium Sarawak, sekali gus memperkukuhkan kedudukan muzium ini sebagai pusat global untuk artifak budaya dan sejarah. – EDISI UKAS