ROM: Pemerintah Itali merancang untuk secara berperingkat menarik semula sekatan Covid-19 mulai minggu depan dengan restoran dan teater filem akan dibuka semula pada Rabu lalu.
Pihak berkuasa mengatakan restoran akan dibenarkan untuk melayani pelanggan tetapi hanya di kawasan zon kuning yang mana risiko penularan dianggap rendah.
Sementara itu, pawagam, teater dan ruang konsert juga dapat dibuka kembali pada hari yang sama dengan kapasiti 50 peratus.
Sekolah dan universiti akan dibenarkan untuk mengadakan kelas secara bersemuka dan perjalanan antara zon kuning akan disambung semula.
Bagaimanapun, perintah berkurung tetap dijalankan bermula 10.00 malam hingga 5.00 pagi.
Pada peringkat seterusnya mulai 15 Mei, kolam renang akan dibuka semula dan pusat beli-belah yang pada masa ini hanya beroperasi pada Isnin hingga Khamis akan dibenarkan beroperasi pada hujung minggu.
Bermula 1 Jun, bar dan restoran boleh melayani pelanggan di dalam rumah tetapi hanya dari 5.00 pagi hingga 6.00 petang dan gim juga akan diberi lampu hijau untuk meneruskan perniagaan.
Malah, stadium akan dibuka semula untuk orang ramai dengan kapasiti 25 peratus, tetapi jumlah penonton tidak boleh melebihi 1,000 di tempat terbuka dan 500 di tempat tertutup.
Mulai 15 Jun nanti, pameran akan dibenarkan dan bermula pada Julai, tempat persidangan, taman tema dan spa juga dapat beroperasi semula.
Media Itali mengatakan bahawa sebahagian besar wilayah di Itali akan diklasifikasikan sebagai zon kuning mulai Isnin sehingga memungkinkan sekatan Covid ditarik semula secara beransur-ansur.
Pelonggaran kawalan berlaku ketika negara itu masih mencatat 300 kematian rata-rata setiap hari dan membunuh 117,000 orang setakat ini. -AFP