KUCHING: Syarikat SESCO Berhad (SESCO), anak syarikat Sarawak Energy menawarkan pelan ansuran automatik selama enam bulan untuk meringankan kesan kewangan disebabkan oleh pelarasan bil yang berbentuk sekali sahaja.
Ini sebagai maklum balas terhadap kebimbangan pelanggan mengenai peningkatan bil yang di luar jangkaan berikutan bacaan anggaran yang berpanjangan.
Naib Presiden Peruncitan Sarawak Energy, Ng Shou Fui, berkata pelarasan ini berlaku susulan peralihan daripada bacaan anggaran yang rendah kepada data penggunaan sebenar.
“Pelan ansuran automatik ini akan dilaksanakan untuk pelanggan yang terjejas, dengan pilihan untuk mereka yang memerlukan fleksibiliti tambahan untuk menguruskan tempoh pembayaran lebih panjang dengan menghubungi SESCO.
“Pilihan pembayaran fleksibel tersebut telah lama menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard SESCO bagi membantu pelanggan untuk menguruskan bil mereka.
“Kami memahami sebahagian daripada pelanggan mungkin menghadapi cabaran dengan bil elektrik mereka, terutamanya bagi mereka yang telah menerima bacaan anggaran yang berpanjangan disebabkan oleh meter yang tidak dapat diakses.
“Bil yang telah diselaras dan dikeluarkan selepas kami mendapat bacaan meter yang sebenar, menunjukkan penggunaan sebenar bagi sepanjang tempoh tersebut.
“Walaupun ini mungkin menyebabkan pelarasan bil sekali sahaja, kami komited untuk membantu pelanggan menguruskan pelarasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ng berkata pelanggan yang sebelum ini dikenakan bil berdasarkan anggaran atas faktor seperti pintu pagar berkunci atau lokasi meter yang sukar diakses akan menerima bil tepat selepas bacaan sebenar diambil.
Katanya, SESCO telah melaksanakan beberapa langkah untuk memaklumkan pelanggan mengenai meter yang tidak dapat diakses, termasuk menunjukkan bil anggaran dengan jelas dan mengeluarkan notis pintu pagar berkunci melalui pembaca meter.
Beliau berkata SESCO komited untuk memastikan pelarasan ini tidak memberikan beban kewangan yang berlebihan kepada pelanggan walaupun akses ke premis mereka telah terhad dalam tempoh yang lama.
“Kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami di sini untuk membantu mereka. Pelan ansuran automatik selama enam bulan ini diberikan untuk mengurangkan tekanan kewangan, dan jika memerlukan fleksibiliti tambahan, pelanggan boleh terus menghubungi kami.
“SESCO menguruskan 780,000 meter, dan kira-kira tiga hingga empat peratus akaun menerima bil anggaran. Daripada jumlah tersebut, sekitar satu peratus pelanggan telah dikenakan bayaran kurang daripada yang sepatutnya.
“Kami akan terus berhubung dengan pelanggan ini untuk memastikan bacaan sebenar dapat diperolehi,” tambah Ng.
Untuk membantu mengurangkan perbezaan antara bil anggaran dengan bacaan meter sebenar, pelanggan disarankan untuk kerap mengesahkan bacaan yang dicaj adalah konsisten dengan bacaan meter fizikal.
Beliau berkata, mereka juga boleh memohon pembaca meter untuk mengesahkan bacaan di premis mereka dengan menghantar gambar bacaan meter terkini bersama nombor siri meter atau membuat laporan melalui aplikasi mudah alih SEB cares atau portal web.
Untuk mendapatkan bantuan atau menguruskan tempoh ansuran yang lebih panjang, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-3111, e-mel
customercare@sarawakenergy.com, atau melawat kaunter perkhidmatan pelanggan yang terdekat.
Katanya, bagi pelanggan di Kuching, mereka boleh mengunjungi kaunter sedia ada di Saradise, Wisma SESCO atau UTC Kuching.