KUALA LUMPUR, 5 Oktober: Sebanyak 10 pakej kerja bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak telah berjaya disiapkan sepenuhnya manakala satu pakej kerja iaitu WP11 berada pada tahap 99.9 peratus, setakat 31 Mac 2026.
Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 hari ini memaklumkan pencapaian objektif projek LPB Sarawak belum dapat dinilai memandangkan projek belum siap sepenuhnya.
“Pengauditan mendapati kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus kontrak yang kurang cekap, antaranya tuntutan pengalihan dan pemasangan semula utiliti belum dilaksanakan berjumlah RM1.78 bilion dan bayaran berjumlah RM32.07 juta telah dibuat bagi Sistem Maklumat Projek namun sistem tidak dapat diakses selepas tamat tempoh perjanjian,” menurut kenyataan itu.
LKAN 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, Aktiviti Kementerian/jabatan Kerajaan Persekutuan dan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri, Aktiviti Kementerian/jabatan/agensi Negeri dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Projek LPB Sabah Fasa 1 yang telah dirancang sejak 2015 meliputi 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer masih belum disiapkan selepas lebih 10 tahun.
JAN memaklumkan sehingga 31 Mac 2026, hanya empat pakej kerja iaitu 11.4 peratus dengan jumlah kos asal RM0.567 bilion telah disiapkan, manakala baki 31 pakej kerja (88.6 peratus) bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan.
“Daripada 31 projek dalam pelaksanaan, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej kerja lewat jadual serta sembilan pakej kerja mendahului jadual.
“Antara isu pengurusan projek yang dikenal pasti sebagai ketakteraturan serius ialah kelulusan Arahan Perubahan Kerja (APK) melebihi had kuasa berjumlah RM513.99 juta dan kelewatan tuntutan kos utiliti bagi projek siap berjumlah RM41.37 juta,” menurut kenyataan itu.
LKAN 2/2026 memberi fokus kepada beberapa projek infrastruktur utama negara, iaitu Projek LPB Sabah Fasa 1 dan Projek LPB Sarawak.
Selain itu, LKAN berkenaan turut memberi tumpuan kepada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Kelantan dan Program Pemuliharaan Pesisir Pantai.
Mengenai PLSB Sungai Golok, JAN memaklumkan ia masih belum disiapkan mengikut skop, tempoh, kos dan kualiti yang ditetapkan dengan Fasa 1 Projek PLSB mengalami kelewatan dan telah diluluskan Pelanjutan Masa (EOT) sehingga 21 Julai 2027 berbanding tarikh siap dalam perjanjian tambahan pada 13 Ogos 2024.
Selain itu, pelaksanaan Fasa 2 turut tertangguh akibat kelewatan proses perolehan.
“Pihak Audit mengenal pasti kelemahan dalam aspek perancangan projek, penyelarasan antara agensi, pengurusan perubahan skop, pentadbiran kontrak, kawalan reka bentuk, pelaksanaan pembinaan dan pengurusan pelantikan perunding.
“Kelemahan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan reka bentuk, peningkatan kos projek, kelewatan pelaksanaan, kerosakan struktur rumah pam, pembinaan struktur sementara serta ketidakpatuhan terhadap keperluan kontrak,” menurut kenyataan itu.
JAN memaklumkan sekiranya kelemahan tidak ditangani secara menyeluruh, objektif projek untuk menyediakan perlindungan banjir kepada Lembangan Sungai Golok, melindungi kawasan penempatan dan pertanian serta memperkukuh keselamatan kawasan sempadan berisiko terus tertangguh, di samping meningkatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.
Sementara itu, JAN memaklumkan berdasarkan 10 projek siap, Program Pemuliharaan Pesisir Pantai seluruh negara telah mencapai objektif yang ditetapkan untuk melindungi kawasan pantai rentan dari hakisan, mengurangkan risiko banjir pantai dan menyediakan laluan pelayaran.
Pengauditan juga mendapati kelemahan dalam pelaksanaan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus, Terengganu dengan kelewatan 15.7 peratus (144 hari) disebabkan kekurangan jentera dan ketiadaan aktiviti pembinaan di Breakwater No 1, 2, 3 dan 9 serta kelewatan kontraktor mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi skop penambakan pantai.
“Bagi mengatasi isu ini, koordinasi antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hendaklah diperkukuh agar Breakwater No 7 dan 8 dapat disiapkan dengan segera sebelum musim Monsun Timur Laut bagi mengelakkan runtuhan jalan yang telah dibaiki,” menurut kenyataan itu. – Bernama




