KERANDA RATU… Keranda Ratu Elizabeth II yang disarungkan Standard Diraja, dibawa masuk ke Westminster Abbey di London semalam. • Foto AFP
LONDON: London, melaksanakan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II semalam, istiadat pemakaman terbesar di dunia sejak tempoh beberapa dekad.
Jasad mendiang Ratu dimakamkan di Westminster Abbey, lapor Agensi Anadolu (AA).
Perarakan membawa jasad mendiang Ratu dari Westminster Hall di Istana Westminster ke Westminster Abbey dijalankan selepas keberangkatan tiba Raja Charles III dan Raja Permaisuri Camilla.
Perarakan dari Parlimen ke Westminster Abbey bermula pada 10.35 pagi waktu tempatan.
Istiadat pemakaman, diketuai Dekan Westminster, David Hoyle, bermula 11 pagi.
Turut hadir pada istiadat itu kerabat diraja serta sekitar 100 ketua negara, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, serta wakil pembesar dari 200 negara.
Orang ramai diminta bertafakur selama dua minit sebaik Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby, menamatkan ucapannya.
Istiadat pemakaman negara itu dijangka menarik kunjungan ratusan ribu orang ke London dan disiarkan secara langsung di televisyen serta di skrin besar yang dipasang di Hyde Park.
Jasad Ratu Elizabeth II dimakamkan pada 7.30 malam, bersebelahan makam suaminya Duke of Edinburgh, Putera Phillip, dan istiadat itu hanya dihadiri Raja dan kerabat diraja, di Gereja Memorial King George VI .
Ratu Elizabeth II, Ratu Britain paling lama menduduki takhta, mangkat 8 September lalu pada usia 96 tahun.
-Bernama