GENEVA: Sumber air global semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan aliran sungai merosot, glasier mengecut dan paras air bawah tanah menurun di banyak wilayah, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Eropah Tengah dan Timur terjejas terutamanya oleh paras air bawah tanah yang rendah pada 2025, menurut WMO dalam laporan tahunan State of Global Water Resources yang dikeluarkan hari ini.
Beberapa wilayah lain mencatatkan defisit yang begitu besar berbanding tempoh 2014-2024, manakala paras air bawah tanah di kebanyakan Eropah Utara berada di atas purata jangka panjang.
Perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, peningkatan permintaan terhadap air daripada populasi global yang semakin tinggi dan kebolehubahan semula jadi semuanya menyumbang kepada perubahan dalam sumber air, kata Wayne Jenkinson, pengarah bahagian Hidrologi dan Kriosfera WMO.
Takungan air telah mengecut secara berterusan selama lebih sedekad, kata WMO.
Ini termasuk air bawah tanah serta air yang disimpan di tasik, glasier, tanah, tumbuh-tumbuhan, salji dan ais.
Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo membandingkan rizab itu dengan akaun simpanan yang sebelum ini boleh membantu menampung musim kemarau.
“Kita sedang menghabiskan akaun simpanan itu,” katanya.
Hampir dua pertiga telaga yang dipantau mempunyai kurang air tahun lepas berbanding purata jangka panjang, menurut laporan itu.
Jumlah air yang mengalir melalui sungai di seluruh dunia juga sangat rendah pada 2025, yang menurut WMO adalah satu antara tiga tahun dengan luahan sungai paling rendah dalam tempoh 35 tahun yang lalu. – Bernama



