
NABLUS: Pasukan bersenjata Israel didakwa telah melakukan serangan ke atas enam masjid di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki, semalam.
Malah, Pegawai Palestin mengecam kebakaran sebahagian daripada sebuah masjid bersejarah yang menurut mereka berlaku ketika serbuan oleh pasukan bersenjata Israel.
Rakaman AFPTV semalam menunjukkan penduduk Palestin memeriksa bahagian dalam Masjid al-Nasr, mercu tanda di Kota Lama Nablus, yang dipenuhi jelaga hitam dan hangus sebahagiannya.
Saksi yang ditemu bual AFP berkata operasi ketenteraan itu berlangsung antara jam 2.00 pagi hingga 6.30 pagi.
Ketika dihubungi AFP, tentera Israel tidak segera memberikan komen rasmi mengenai operasi mereka di bandar utara Tebing Barat itu.
Pihak berkuasa agama tempatan menyatakan sejumlah enam masjid telah menjadi sasaran serangan.
Kemusnahan itu berlaku ketika umat Islam menandakan Jumaat pertama dalam bulan suci Ramadan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin menyifatkan kerosakan ke atas masjid di Nablus sebagai ‘serangan serius dari segi skala dan waktunya’, serta mengecam ‘rancangan sistematik… dalam mencemarkan tempat suci, masjid dan rumah ibadat’.
Pengarah wakaf Nablus, Sheikh Nasser Al-Salman, mengecam ‘pencerobohan kejam pendudukan Israel ke atas masjid-masjid di Nablus’.
Dalam satu kenyataan, beliau menuduh Israel ‘giat berusaha mencabuli tempat suci Islam dan masjid pada kadar yang semakin pantas’.
Israel telah melancarkan serangan selama beberapa minggu di utara Tebing Barat yang bermula di sekitar kem pelarian yang dianggap sebagai kubu kuat pejuang Palestin.
Serangan itu kini telah diperluaskan ke lebih banyak kawasan, menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan menyaksikan penempatan pertama kereta kebal Israel di wilayah tersebut dalam tempoh 20 tahun.
Dalam satu kenyataan, majlis perbandaran Nablus mengecam tindakan pasukan Israel ‘membakar Masjid al-Nasr, yang dianggap sebagai masjid bersejarah dan mercu tanda warisan penting di dalam Kota Lama’.
Datuk Bandar Nablus, Husam Shakhshir, berkata pasukan Israel menghalang pasukan bomba dan menyekat mereka daripada sampai ke lokasi kebakaran. – AFP