PARIS: Perenang Daniel Wiffen merangkul pingat emas pertama Ireland dalam Sukan Olimpik Paris sambil mencipta rekod baharu temasya itu menerusi acara akhir 800 meter (m) gaya bebas lelaki, semalam.
Menurut Agensi Berita Xinhua, atlet berusia 23 tahun itu mencatatkan masa tujuh minit 38.19 saat, mengatasi rekod milik Mykhailo Romanchuk dengan lebih tiga saat.
Atlet Amerika Syarikat (AS) Bobby Finke meraih perak dengan masa 7:38.75 dan atlet Itali Gregorio Paltrinieri memenangi gangsa dengan masa 7:39.38 di La Defense Arena.
“Untuk memenanginya dalam acara pertama saya adalah lebih baik. Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya, sejujurnya. Luar biasa,” kata Wiffen.
Dalam perkembangan berkaitan, Kaylee McKeown dari Australia turut mencipta rekod baharu Olimpik apabila memenangi acara 100m kuak lentang Olimpik berturut-turut.
McKeown menamatkan saingan dalam masa 57.33 saat, mengatasi rekodnya sendiri sebelum ini iaitu 57.47 yang dicatat di Tokyo tiga tahun lepas.
Pemegang rekod dunia AS, Regan Smith meraih perak dengan masa 57.66 saat dan rakan senegaranya Katharine Berkoff memperoleh gangsa dengan masa 57.98 saat.
Sementara itu, dalam perlumbaan pingat terakhir pada petang itu, Britain mengekalkan gelaran 4x200m gaya bebas lelaki Olimpik berturut-turut dengan mengatasi cabaran Amerika Syarikat dan Australia.
Kuartet Britain dibarisi James Guy, Tom Dean, Matthew Richards dan Duncan Scott mendahului pada setiap pusingan untuk menamatkan perlumbaan dalam masa enam minit 59.43 saat.
Gandingan perenang Amerika Syarikat menerusi Luke Hobson, Carson Foster, Drew Kibler dan Kieran Smith meraih perak, lebih satu saat di belakang.
Pasukan Australia yang diwakili Maximillian Giuliani, Flynn Southam, Elijah Winnington dan Thomas Neill memenangi gangsa. – Bernama – Xinhua