
SIBU: Biro Kebudayaan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu akan menganjurkan Pertandingan Betabuh dan Tarian Ngajat Antara Unit SDNU Cawangan Sibu dan Kawasan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu Tahun 2025 pada 9 Mei ini.
Pengerusi Biro Kebudayaan SDNU Sibu, Anyie Angking, berkata pertandingan yang dijadualkan bermula 6.30 petang itu akan berlangsung di Permai Lake Garden Lakeside Foodcourt.
Menurutnya, pertandingan ini bertujuan mengekalkan warisan budaya dan tradisi kaum Dayak menerusi permainan alat muzik tradisional serta tarian ngajat, selain memberi peluang kepada ahli SDNU Sibu—lelaki dan perempuan—menonjolkan bakat dan kemahiran mereka.
“Apa yang lebih penting, pertandingan ini dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli dari pelbagai latar belakang dan usia, selain memperkasa bakat mereka dalam muzik dan tarian tradisional.
“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Majlis Seni Sarawak (MSS) dalam melestarikan warisan budaya bangsa serta mempromosikan muzik dan tarian tradisional kepada masyarakat dan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pertandingan ini diharapkan mampu menarik minat masyarakat umum dan generasi muda untuk mempelajari serta menonjolkan bakat mereka dalam bidang kesenian dan kebudayaan.
“Kemahiran yang diasah melalui pertandingan seperti ini dapat meningkatkan keyakinan diri peserta untuk membuat persembahan dalam acara seperti Hari Gawai atau majlis-majlis kebudayaan lain,” katanya.
Syarat Penyertaan
Pertandingan Betabuh terbuka kepada ahli SDNU Sibu dan SIDS Sibu yang mewakili unit atau kawasan masing-masing. Setiap unit dibenarkan menghantar antara satu hingga tiga kumpulan, dan setiap kumpulan terdiri daripada lima orang ahli, termasuk penari ngajat.
Penyertaan kumpulan Betabuh boleh terdiri daripada ahli lelaki, perempuan, atau gabungan kedua-duanya.
Bagi Pertandingan Tarian Ngajat, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu, Kategori Lelaki dan Kategori Wanita.
Penyertaan adalah terhad kepada 20 kumpulan sahaja, dan keutamaan diberikan kepada kumpulan yang menghantar borang penyertaan lebih awal. Tarikh tutup penyertaan ialah 8 Mei 2025.
Sebarang pertanyaan berkaitan pertandingan, termasuk borang penyertaan, boleh diajukan kepada Anyie Angking di talian 013-812 6382, dan 017-2176797 Loryna Leman.
Hadiah Menarik Menanti Pemenang
Kategori Betabuh:
- Johan: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM800
- Naib Johan: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM600
- Tempat Ketiga: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM400
- Lima Saguhati: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM50 setiap satu
Kategori Tarian Ngajat (Lelaki & Wanita):
- Johan: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM300
- Naib Johan: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM250
- Tempat Ketiga: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM200
- Lima Saguhati: Sijil, Trofi & Wang Tunai RM50 setiap satu
Pihak penganjur berharap pertandingan ini dapat memberi impak positif dalam memupuk kecintaan terhadap warisan budaya serta memperkukuh peranan seni dan budaya dalam kalangan masyarakat Dayak khususnya, dan rakyat Sarawak amnya.
Oleh Akun Giman