KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak semakin kritikal apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian melonjak kepada 273 setakat 8.00 malam ini, dengan enam kawasan negeri kini berada pada status sangat tidak sihat.
Berdasarkan bacaan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 273, meningkat daripada 228 pada 4.00 petang dan menghampiri paras 300.
Selain Serian, lima kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU melebihi 200 iaitu Lubok Antu (236), Sri Aman (227), Tebedu (227), Samarahan (206) dan Lundu (203).
Keadaan itu menunjukkan kualiti udara di Sarawak semakin teruk dengan tiada tanda-tanda pemulihan, malah jumlah kawasan berstatus sangat tidak sihat terus bertambah sepanjang hari.
Kuching turut menghampiri paras sangat tidak sihat dengan bacaan 195, manakala Sarikei merekodkan 192 dan masing-masing berada pada status tidak sihat.
Kawasan lain yang berada pada status tidak sihat ialah Sibu (168), Mukah (171), Kapit (156), Bintulu (159) dan Samalaju (155).
Sementara itu, Miri (86), ILP Miri (88), Limbang (65), Lawas (68) dan Bario (83) masih merekodkan status sederhana.
Dengan peningkatan bacaan di kebanyakan kawasan, keadaan jerebu di Sarawak kini semakin membimbangkan, khususnya di bahagian selatan negeri.
Oleh Masrin Affirah




