MIRI, 21 November: Golongan belia perlu diperkasa dengan keyakinan diri, kemahiran dan keupayaan untuk muncul sebagai generasi berkualiti yang mampu memimpin serta memacu pembangunan ekonomi Sarawak pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ripin Lamat berkata, usaha membentuk generasi muda yang berdaya saing memerlukan penglibatan aktif mereka dalam pelbagai program pembangunan yang dapat mengembangkan potensi diri.
Menurutnya, Program Klinik Pembangunan 1,000 Belia bertemakan ‘Memperkasa Belia, Membentuk Masa Depan’ merupakan antara platform untuk membantu golongan muda meningkatkan keupayaan diri serta membina kesedaran mengenai peranan mereka dalam keluarga dan masyarakat.
“Kita ingin melihat anda semua menjadi insan yang berguna kepada keluarga, diri sendiri serta mampu meningkatkan sosioekonomi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Klinik Pembangunan 1,000 Belia yang disertai peserta daripada tiga buah sekolah, termasuk sebuah sekolah dari kawasan luar bandar, di sini.
Ripin hadir mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, untuk menyempurnakan perasmian program berkenaan.
Beliau berkata, pengisian program itu dirangka bagi membantu peserta membina keyakinan diri, mengembangkan potensi serta mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan golongan belia perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berpotensi menjadi pemimpin, malah mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling



