KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak semakin kritikal apabila lima kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 setakat 4.00 petang ini.
Jumlah kawasan yang mencatat IPU melebihi 200 meningkat daripada hanya dua kawasan pada 8.00 pagi, kepada empat kawasan pada 2.00 petang dan kini lima kawasan setakat 4.00 petang.
Berdasarkan bacaan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 233, diikuti Lundu (232), Sri Aman (229), IPD Serian (228) dan Tebedu (213), yang kesemuanya berada pada status sangat tidak sihat.
Sarikei merekodkan bacaan 194, Samarahan (185), Kuching (180), Mukah (171), Sibu (166), Samalaju (149), Bintulu (156) dan Kapit (156), yang berada pada status tidak sihat.
Sementara itu, Miri merekodkan bacaan 76, ILP Miri (77), Bario (72), Lawas (60) dan Limbang (56), masing-masing kekal pada status sederhana.
Keadaan itu menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak terus merosot dengan bacaan IPU meningkat sepanjang hari, khususnya di bahagian selatan negeri.
Oleh Masrin Affirah




