SIBU:Kepimpinan dan ahli jawatankuasa masjid hendaklah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan keupayaan mengurus masjid dengan lebih professional dan berintegriti.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, integriti adalah satu sikap yang amat penting untuk diterapkan dalam diri setiap individu.
“Amanah dan tugas yang diberikan perlulah disempurnakan sebaik mungkin dan perlu menjauhkan diri daripada apa sahaja perbuatan dan perlakuan yang bercanggah dengan agama.
“Semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan didasari dengan sifat taqwa dan insan yang menjamin ketinggian integriti seseorang,” jelasnya.
Ketua Menteri berkata demikian pada perasmian Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Negeri Sarawak Tahun 2021 di Kompleks Islam Sibu, semalam.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, Majlis Islam Sarawak telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kompetensi dan integriti pihak pengurusan masjid dan surau di Negeri Sarawak.
“Antaranya ialah Program Standard Penarafan Bintang Masjid Negeri Sarawak, mendapat lima bintang bermakna masjid dan surau ini baik pada segala sudut pentadbiran, pengurusan kewangan, keselamatan, kebersihan dan keceriaan,” ujarnya.
Di Bahagian Sibu katanya, terdapat sebanyak 13 masjid dan 51 surau.
“Tiga buah masjid di bahagian ini (Sibu) yang telah mendapat penarafan lima bintang adalah Masjid Al Muhajirin, Kampung Salim, Sibu, Masjid Darul Amilin,Taman Permai, Sibu dan Masjid An Nur, Bahagian Sibu,” ujarnya lagi.
Beliau yakin dengan adanya inisiatif-inisiatif tersebut pengurusan dan pentadbiran masjid dan surau akan lebih teratur dan sistematik.
“Oleh itu, sebagai Muslim, kitalah yang dipertanggungjawabkan atau diamanahkan untuk melaksanakan usaha murni tersebut,” ujar beliau.
Penganjuran seminar pada kali ini dilaksanakan secara Hibrid dan penyertaan terdiri daripada kalangan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat, Guru-guru KAFA dan NGO-NGO Islam dari sekitar Sibu secara bersemuka seramai 300 orang dan 2,000 peserta hadir secara maya.
Masjid An-Nur Bahagian Sibu menerima Anugerah Terbaik Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) bersampena Anugerah Masjid Malaysia Tahun 2020 kategori Pengimarahan Etnik.
Manakala, Jammie Andrew dari Masjid Setia Raja Mukah menerima Anugerah Tokoh Imam Negeri Sarawak bersempena Konvensyen Murabbi Umah Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.
Turut hadir, Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) dan Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN