DEBAK: Institusi perbankan tempatan diminta melonggarkan syarat bagi pembukaan cawangan atau Mesin Juruwang Automatik (ATM) di sesebuah kawasan pekan khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam berkata, institusi perbankan tempatan juga, wajar membuka lebih banyak cawangan di luar bandar bagi membolehkan penduduk di kawasan berkenaan mendapat akses baik kepada khidmat perbankan.
“Yang kita mahukan kepada institusi perbankan ialah longgarkan dari segi syarat bagi membuka cawangan atau kiosk (mesin ATM) di sesebuah kawasan atau pekan di luar bandar negeri ini.
“Kalau tidak dapat membuka cawangan bank, menyediakan mesin ATM sudah memadai sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak bank di kawasan luar bandar,” ujarnya selepas menerima kunjungan pihak Bank Rakyat Cawangan Sarikei di Pejabat Daerah Kecil Debak semalam.
Pada kunjungan oleh pihak Bank Rakyat Cawangan Sarikei yang diketuai oleh Pengurus Cawangannya, Faishal Salleh itu turut membuat tinjauan di sekitar pekan Debak berdasarkan permohonan yang diminta oleh wakil rakyat di kawasan itu menyediakan kiosk mesin ATM baru-baru ini.
Razi menegaskan, keperluan mewujudkan mesin ATM bank di pekan Debak sudah ke tahap yang sangat memerlukan, memandangkan populasi di daerah itu mencecah lebih 15,000 penduduk.
“Debak juga sedang dan akan mengalami perubahan yang memberangsangkan, dari segi pembangunan infra dan aktiviti ekonomi.
“Justeru, saya menggesa agar institusi perbankan tempatan itu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka di kawasan luar bndar di Sarawak ini,” tegas Razi.
Beliau berkata, saranan mewujudkan bank dan perkhidmatan ATM di Debak sememangnya menjadi impian penduduk di sini malah ia diperlukan terutamanya sepanjang penguatkuasaan PKP baru-baru ini.
Beliau percaya bahawa Kerajaan Sarawak seboleh-bolehnya mahukan perkhidmatan tersebut diadakan bukan sahaja di Debak malah di seluruh Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.
Namun kini, tambahnya lagi, penduduk di Debak amnya, terpaksa mengambil wang tersebut di pekan terdekat iaitu di Betong atau Saratok yang mengambil masa perjalanan selama sejam.
Justeru, Razi menyaran agar pihak bank tempatan, ataupun pihak Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara memikirkan cara untuk memberi perkhidmatan yang lebih selesa kepada penduduk luar bandar.
Oleh Adi Safarman