
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI
JAKARTA: Indonesia telah mengehadkan penggunaan gajet sewaktu aktiviti pembelajaran di institusi pendidikan di bawah dasar baharu yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital secara selamat, bertanggungjawab dan berunsurkan pendidikan dalam kalangan pelajar.
Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah, Abdul Mu’ti berkata sekatan tersebut bukanlah bertujuan untuk mengharamkan penggunaan gajet, sebaliknya untuk mengawal selia penggunaannya agar ia dapat menyokong proses pembelajaran dengan lebih baik.
“Sekatan ini bukanlah satu larangan, tetapi lebih kepada memastikan pelajar menggunakan teknologi digital, khususnya gajet, secara bijak, berhemah dan untuk tujuan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah pada Khamis.
Dasar tersebut digariskan dalam Surat Pekeliling Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah Bilangan 18 Tahun 2026 mengenai Sekatan Penggunaan Gajet di Institusi Pendidikan, yang telah diwartakan pada 13 Julai.
Kementerian berkenaan menyelia pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas, serta pendidikan vokasional, khas dan pendidikan kesetaraan.
Menurut kementerian itu, sekatan berkenaan terpakai sewaktu aktiviti pembelajaran sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko yang berkaitan dengan teknologi digital, termasuk ketagihan digital, pendedahan kepada kandungan berbahaya, keganasan dalam talian, ancaman keselamatan siber serta masalah kesihatan fizikal dan mental.
Katanya, surat pekeliling itu juga bertujuan untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif, meningkatkan tumpuan pelajar, memperkukuh interaksi sosial dalam kalangan pelajar, menyokong Gerakan Tujuh Tabiat Anak Hebat Indonesia dan mempromosikan budaya digital yang sihat, selamat serta bertanggungjawab. – Bernama




