Ratusan keranda, emas berbentuk lidah ditemukan di Mesir

Facebook
WhatsApp
AHLI arkeologi Mesir menemukan ratusan keranda, artifak emas berbentuk lidah, barang kemas serta azimat purba di sebuah tanah perkuburan berusia lebih 2,000 tahun di Menoufia, utara Mesir. Foto AGENSI

ISTANBUL, 19 November: Ahli arkeologi Mesir menemukan sebuah tanah perkuburan purba yang mengandungi ratusan keranda, artifak emas berbentuk lidah serta barang kemas di wilayah Menoufia, utara negara itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir pada Rabu.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan penemuan di Tell Kom Abu Billo berkenaan merangkumi keranda batu dan tembikar, sisa keranda kayu serta makam berbumbung melengkung yang dibina daripada bata lumpur.

Kajian awal menunjukkan sebahagian besar kawasan perkuburan berkenaan berasal dari abad ketiga dan kedua Sebelum Masihi.

Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Hisham El-Leithy berkata penemuan sejumlah besar kubur dan keranda yang tertumpu di kawasan halaman terbuka merupakan sesuatu yang belum pernah ditemukan di tapak berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan awal terhadap barangan yang dikebumikan bersama mayat menunjukkan tanah perkuburan itu kebanyakannya digunakan oleh penduduk kelas pertengahan.

Sisa struktur binaan turut ditemukan di bawah timbunan pasir dan runtuhan di kawasan sekitar, menunjukkan kemungkinan masih terdapat lebih banyak struktur yang tertimbus.

Antara artifak yang ditemukan ialah kepingan emas berbentuk lidah, anting-anting, loket rantai dan kepingan emas nipis, selain azimat berbentuk kumbang scarab serta patung kecil pengebumian yang dikenali sebagai ushabti. Sebahagian patung itu mempunyai ukiran tulisan hieroglif.

Ahli arkeologi turut menemukan patung sfinks kecil, serpihan patung dewa helang Horus, serta dua kubur helang di antara keranda yang ditemukan.

Artifak lain pula menggambarkan dewi Isis-Aphrodite, termasuk sebuah artifak tanah liat yang menunjukkan dewi itu duduk di atas bunga teratai sambil menyusukan bayi Harpocrates.

Sebahagian keranda ditemukan tanpa penutup, manakala yang lain pecah akibat kerosakan terdahulu dan aktiviti penggalian batu.

Tanah perkuburan itu terletak dalam kawasan arkeologi Terenouthis purba, di pintu masuk timur Wadi El Natrun, yang suatu ketika dahulu menjadi sumber garam natron yang digunakan dalam proses mumifikasi.

Penggalian terdahulu menemukan tinggalan bandar purba itu serta sebuah kuil yang didedikasikan kepada dewi Hathor.

Menurut kementerian itu, kerja penggalian dan kajian akan diteruskan bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai individu yang dikebumikan di situ serta tradisi pengebumian mereka. – Bernama-Anadolu