
LUNDU: Program Jerayawara Bubur Lambuk Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu (Saberkas) Sarawak 2025 mengimarahkan lagi Ramadan dengan memperkukuhkan amalan bersedekah, gotong-royong dan mempereratkan perpaduan antara masyarakat sepanjang Ramadan.
Presiden Saberkas yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pada tahun ini, pertubuhan tersebut telah mengenal pasti 61 lokasi bagi meneruskan program ini, yang dimulakan di Lundu dengan sekitar 500 pek bubur lambuk berjaya diagihkan kepada penduduk.
“Bagi memastikan kelancaran program ini, Saberkas telah memperuntukkan dana sebanyak RM1,500 kepada setiap Saberkas Cawangan, berbanding RM1,000 pada tahun-tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhan, dana sebanyak RM91,500 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini di 61 lokasi seluruh Sarawak.
“Dana tersebut diharapkan dapat mempermudahkan penganjuran program ini di setiap cawangan Saberkas,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Program Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Sarawak 2025 di sini, hari ini.


Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah, selain program Jerayawara Bubur Lambuk, Saberkas juga meneruskan usaha melalui program ‘Saberkas Prihatin’ yang dilancarkan pada 8 Mac 2021.
“Baru-baru ini, Saberkas telah menghulurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di Miri dan Bintulu pada Januari 2025.
“Setakat ini, sebanyak 34 cawangan Saberkas telah memohon untuk melaksanakan program bantuan di kawasan masing-masing melalui ‘Saberkas Prihatin’, dengan dana sebanyak RM410,000 diperuntukkan untuk membantu golongan yang memerlukan,” ujar beliau lagi.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, Setiausaha Agung Saberkas Safiee Ahmad, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha serta tetamu lain. – UKAS