SIBU: Banjir yang melanda kawasan Sibu akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar dijangka berterusan sehingga Sabtu ini, 18 Januari.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh, berkata paras air dijangka mencapai paras tertinggi pada hari ini walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding semalam.
“Semalam, paras air di beberapa kawasan sangat tinggi. Hari ini paras air sedikit menurun, namun berdasarkan situasi dan keadaan air dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air pasang terbesar dijangka berlaku pada hari ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Ting, meskipun paras air masih tinggi, kawasan seperti Jalan Khoo Peng Loong tidak mengalami banjir seperti semalam yang mencecah paras sekaki.
“Banjir ini berpunca daripada limpahan air hujan yang datang dari Kapit dan Kanowit. Dengan kurangnya hujan, kami berharap air tidak akan melimpah ke seluruh kawasan, terutamanya kawasan rendah yang kini mula surut.
“Saya berharap penduduk sentiasa lebih berhati-hati dan berjaga-jaga sepanjang musim banjir ini,” tambahnya.
Mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku, khususnya di Jalan Ling Kai Cheng dan Jalan Ulu Sungai Merah, Ting memaklumkan bahawa pihak MPS telah bekerjasama dengan pihak polis untuk mengawal keadaan, terutama pada waktu puncak.
“Semalam, keadaan sangat teruk di Jalan Ling Kai Cheng dan kami meminta pihak polis untuk mengawal lalu lintas. Keadaan serupa juga berlaku di Jalan Ulu Sungai Merah,” jelasnya.
Ting juga mengulas mengenai cadangan menaik taraf kawasan Jalan Ling Kai Cheng, di mana beliau berkata masalah utama bukan terletak pada keadaan jalan itu, tetapi akibat limpahan air dari Sungai Seduan yang masuk ke dalam longkang.
Justeru, beliau berkata, pihaknya sedang merancang untuk memasang pintu air di kawasan tersebut bagi menghalang air pasang besar daripada masuk ke dalam kawasan terbabit.
“Kami telah berbincang dengan Datuk Michael Tiang (ADUN Pelawan) mengenai cadangan ini kerana ini merupakan kawasannya. Jika pintu air tidak dibina, air sungai akan terus melimpah masuk ke kawasan rendah ketika hujan lebat. Inilah punca banjir di kawasan tersebut,” jelasnya.
Ting berharap keadaan banjir yang berlaku dapat bertambah baik dan tidak berlarutan sehingga tarikh yang diramalkan.
Oleh TARANI LANTING