
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menasihatkan penduduk di kawasan terjejas banjir untuk segera menghubungi Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) jika kediaman dimasuki buaya.
Katanya, penduduk perlu lebih berhati-hati dalam mendepani situasi berbahaya khususnya kemunculan buaya yang sekarang banyak ditemui di kawasan banjir.
“Janganlah kita usik atau kacau, sebaliknya hubungi pihak berkuasa seperti SFC kerana mereka mempunyai kepakaran untuk menangani buaya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bencana Daerah Lawas baru-baru ini.
Menyentuh lanjut, Awang Tengah juga meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) untuk lebih proaktif dalam mengerakkan penduduk semasa berlaku banjir.
“Pastikan penduduk sedia untuk dipindahkan apabila keadaan sudah tidak selamat dan semua KMKK harus sentiasa berhubung dengan bilik gerakan jawatankuasa banjir untuk membolehkan bantuan segera diberikan,” tambahnya.
Selain itu, masalah gangguan telekomunikasi yang sering terjejas di Daerah Lawas akan beliau rujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera.
Oleh itu beliau juga mahu semua kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dapat dibekalkan dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih dan juga perkhidmatan telekomunikasi.
Oleh Adeng Edrus