
SIMANGGANG: Hubungan baik antara sekolah di kawasan Sri Aman akan memudahkan pihak sekolah menganjurkan pelbagai aktiviti mencari dana seperti merarau dan majlis makan malam bagi membantu pembangunan serta aktiviti sekolah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah penting bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mendapat sambutan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Merarau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selepong 2026 di sini, kelmarin.
Menurut Mong, penganjuran aktiviti seperti itu bukan sahaja membantu sekolah menambah dana, malah mampu mengeratkan hubungan antara warga pendidik, ibu bapa serta komuniti setempat.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti sekolah juga dapat menyemai semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memastikan pembangunan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian.
Dalam pada itu, Mong turut berharap agar hubungan baik yang terjalin antara sekolah-sekolah di Sri Aman dapat terus diperkukuh demi manfaat bersama serta kemajuan sektor pendidikan di kawasan berkenaan.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM29,000 kepada PIBG SK Selepong bagi menyokong pembangunan pendidikan serta pelaksanaan aktiviti pelajar di sekolah berkenaan.
Oleh Adi Safarman