BINTANGOR: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Parlimen Sarikei, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii turun padang bertemu rakyat di sekitar bandar dan rumah panjang.
Katanya, beliau memberikan tumpuan untuk bidang pendidikan dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan kawasan luar bandar.
“Bidang pendidikan amat penting dan saya sangat memberi keutamaan dalam bidang ini.
“Selain itu, saya juga memberi penekanan penting dalam membangunkan kemudahan jalan raya yang lebih baik kepada penduduk di kawasan Sarikei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita di Rumah William Settaun, tengah hari semalam.
Tambahnya, infrastruktur asas tersebut sangat penting dalam usaha memastikan penduduk di Sarikei menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik.
“Saya memberi penekanan terhadap aspek ini kerana jalan raya yang baik bukan sahaja untuk kemudahan rakyat tetapi juga memudahkan petani memasarkan hasil pertanian masing-masing,” ujarnya.
Turut serta bersama beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.