Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Hospital Gleneagles Kuching dijangka siap suku kedua 2028, dilengkapi teknologi perubatan berasaskan AI
  • SEMASA

Hospital Gleneagles Kuching dijangka siap suku kedua 2028, dilengkapi teknologi perubatan berasaskan AI

Utusan Sarawak 3 months ago

KUCHING: Sarawak bakal menerima suntikan baharu dalam sektor kesihatan dengan pembinaan Hospital Gleneagles Kuching, yang secara rasmi dimulakan oleh IHH Healthcare Malaysia.

Hospital ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran jenama Gleneagles di Malaysia Timur tetapi juga membawa pelaburan besar bernilai RM400 juta, menandakan komitmen tinggi terhadap perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi.

Dengan kapasiti 200 katil, hospital ini bakal menjadi pusat rujukan utama dalam bidang kardiologi, onkologi, ortopedik, dan neurologi, menawarkan rawatan bertaraf dunia kepada penduduk Sarawak dan sekitarnya.

Lebih menarik, hospital ini akan dilengkapi dengan teknologi perubatan terkini, termasuk sistem pembedahan robotik, diagnostik berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan kemudahan pengimejan canggih, menjadikannya antara hospital paling moden di rantau ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyambut baik pelaburan ini, menyifatkannya sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap masa depan Sarawak serta sejajar dengan hala tuju kerajaan negeri dalam memperkasa sektor kesihatan.

“Ini bukan bermakna ramai orang Sarawak yang sakit, tetapi ia adalah langkah untuk memperkasa pembangunan sektor kesihatan di negeri ini.

“Sudah tentu ia sehaluan dengan dasar kerajaan Sarawak yang telah membuat banyak pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi, termasuk bidang kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pecah tanah Hospital Gleneagles Kuching di Jalan Lintang Selatan, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan jaringan Hospital Gleneagles dalam meningkatkan kualiti rawatan melalui pengalaman, dan kepakaran yang luas.

Hospital ini dijangka memberi akses kepada perkhidmatan perubatan lebih baik bukan sahaja kepada rakyat Sarawak tetapi juga kepada pesakit dari luar negeri.

“Saya yakin bahawa Hospital Gleneagles mempunyai rangkaian luas di bawah IHH Healthcare, yang membolehkan mereka berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam memberikan rawatan terbaik untuk pelbagai jenis penyakit,” kata Abang Johari.

Selain itu, Abang Johari berharap hospital ini akan menjalin kerjasama dengan pusat penyelidikan perubatan bagi meneroka kaedah rawatan baharu, terutama dalam menangani penyakit yang semakin kompleks.

Dengan kemajuan teknologi perubatan, inovasi dalam rawatan menjadi keperluan utama untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

Dengan jangkaan siap menjelang suku kedua 2028, Hospital Gleneagles Kuching bukan sahaja akan menyediakan rawatan terbaik tetapi juga menarik lebih ramai pakar perubatan ke negeri ini, memperkukuh ekosistem kesihatan Sarawak sebagai hab perubatan terkemuka di Malaysia Timur.

Oleh Amanda L.

Continue Reading

Previous: Perkhidmatan siaran radio kekal relevan dalam arus digital
Next: Damai, Telok Melano dua destinasi peranginan utama lokasi pemulihan pasca rawatan pesakit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.