Hospital Bintulu anjur larian maya sempena Hari Terapi Cara Kerja Sedunia

Facebook
WhatsApp
LARIAN MAYA… Hospital Bintulu akan menganjurkan Larian Maya Sempena Hari Terapi Cara Kerja Sedunia Hospital Bintulu 2026 dari 27 Oktober hingga 27 November ini bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

BINTULU, 14 Oktober: Unit Terapi Cara Kerja, Hospital Bintulu akan menganjurkan ‘Larian Maya Sempena Hari Terapi Cara Kerja Sedunia Hospital Bintulu 2026’ dari 27 Oktober hingga 27 November ini sempena sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia pada 27 Oktober setiap tahun.

Menurut kenyataan Hospital Bintulu, program dengan kerjasama BookDoc Malaysia itu bertujuan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti fizikal melalui cabaran mengumpul langkah harian sepanjang tempoh berkenaan.

Peserta yang mencapai sasaran 150,000 langkah akan menerima pingat maya emas dan sijil elektronik (e-sijil), manakala pingat maya perak serta e-sijil diberikan kepada mereka yang mengumpul 75,000 langkah.

Difahamkan, penyertaan terbuka kepada semua warga kerja Hospital Bintulu, manakala orang awam turut dialu-alukan menyertai cabaran bagi mendapatkan pingat maya dan e-sijil.

Setiap peserta perlu menggunakan aplikasi BookDoc dan menyelaraskan jam pintar masing-masing dengan aplikasi berkenaan bagi membolehkan langkah harian direkodkan.

Selain itu, tiga peserta dengan jumlah langkah tertinggi sepanjang tempoh cabaran akan menerima hadiah, namun kategori berkenaan terhad kepada warga kerja Hospital Bintulu sahaja.

Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah langkah terbanyak sepanjang tempoh cabaran, dengan keputusan ditentukan berdasarkan data yang diterima daripada BookDoc Malaysia.

Peserta turut diingatkan supaya sentiasa menyegarkan data langkah pada halaman Active dalam aplikasi BookDoc bagi memastikan perkembangan penyertaan dikemas kini.

Keselamatan dan kesihatan peserta sepanjang menyertai cabaran berkenaan adalah di bawah tanggungjawab masing-masing.

Oleh Carolyne Utih