BATU NIAH, 4 November: Jambatan di Jalan Tepekong, Batu Niah akan ditutup sementara kepada pengguna jalan raya bermula 5 November 2026 bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dijalankan.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Subis (MDS), penutupan itu dijangka berlangsung selama seminggu atau sehingga kerja penyelenggaraan selesai.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan, dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif seperti yang ditunjukkan dalam pelan laluan bagi memastikan perjalanan ke destinasi masing-masing berjalan lancar.
Berdasarkan pelan lokasi yang disediakan, jambatan yang ditutup ditandakan dengan warna kuning, manakala laluan alternatif ditunjukkan menggunakan garisan merah.
MDS turut memohon kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh penutupan bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilaksanakan dengan lancar.
Sebarang perubahan atau perkembangan berkaitan penutupan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi MDS menerusi talian 085-719439 atau kontraktor di talian 013-8363131.
Oleh Adum Liu





