KUCHING, 4 November: Isu yang timbul berhubung penjualan daging khinzir di sebuah premis makanan di tingkat atas Pasar Stutong mendapat reaksi tegas daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, yang mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan perkara yang bukan isu sebagai pertikaian kaum dan politik.
Presiden Sarawak Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, ditegur oleh Wee susulan satu video berdurasi satu minit 23 saat yang dimuat naik ke akaun Facebook Voon, mempersoalkan pihak berkuasa berhubung dakwaan sekatan penjualan daging khinzir di premis makanan di tingkat atas Pasar Stutong.
Dalam video tersebut, Voon mendakwa dengan nada marah bahawa daging khinzir tidak dibenarkan dijual di premis makanan berkenaan, sambil menyatakan bahawa kebanyakan pelanggan di situ terdiri daripada kaum Cina dan Dayak. Beliau turut mempersoalkan mengapa sekatan sedemikian perlu dikenakan.
Sebagai maklum balas, Wee mengunjungi Pasar Stutong pagi ini bersama sekumpulan individu dan sendiri memesan daging khinzir daripada salah sebuah premis makanan bagi membuktikan bahawa makanan tersebut sememangnya dijual di situ.

Wee menjelaskan bahawa premis makanan di tingkat atas Pasar Stutong memang menyediakan hidangan daging khinzir, dengan kawasan premis dibahagikan dengan jelas kepada bahagian halal dan bukan halal.
“Ini sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan hidup bersama. Jangan memadamkan fakta dengan hanya satu kenyataan, dan jangan menjejaskan keharmonian kaum di Sarawak demi kepentingan politik.
“Kita berbeza, tetapi kita makan semeja dan tinggal di bandar yang sama. Keharmonian Sarawak tidak seharusnya dipecahbelahkan oleh isu-isu luar,” katanya.
Ketika ditemui Utusan Sarawak, Wee berkata pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan pihak tertentu mempolitikkan perkara itu demi meraih keuntungan politik sehingga mengorbankan perpaduan dan keharmonian negeri.
“Kita menghormati semua orang di Sarawak. Kita tidak boleh membiarkan isu seperti ini merosakkan keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” tambahnya.
Oleh Connie Chieng





