Peluang, sokongan sekolah penting gilap bakat pelajar ke peringkat antarabangsa

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming dan Samri Suhaili mendengar penerangan daripada pelajar mengenai projek inovasi yang dihasilkan pada Simposium Penyelidikan, Inovasi PdP dan PBL-STEM Daerah Bintulu 2026 di sebuah pusat beli-belah di Bintulu.

BINTULU, 4 November: Pemberian peluang kepada peluang menyertai pertandingan di pelbagai peringkat perlu dipertingkat bagi mencungkil bakat dan potensi mereka, sekali gus membuka ruang untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, pencapaian pelajar dari Bintulu yang berjaya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa membuktikan murid tempatan mempunyai keupayaan untuk mencapai kejayaan di luar negara.

Menurut beliau, pihak sekolah khususnya pengetua dan guru besar perlu memainkan peranan dengan memberi galakan serta sokongan kepada murid untuk menyertai pertandingan yang bersesuaian dengan kebolehan masing-masing.

“Misalnya, saya dimaklumkan, siapa sangka anak Iban dari Bintulu boleh sampai ke Romania, manakala anak Melayu boleh sampai ke United Kingdom menerusi sebuah pertandingan yang berkaitan bahasa Inggeris.

“Perkara ini menunjukkan kita perlu memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk mengembangkan bakat,” katanya ketika berucap pada Simposium Penyelidikan, Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan PBL-STEM Daerah Bintulu 2026 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Menurutnya, simposium berkenaan bukan sekadar platform pertandingan, sebaliknya menjadi ruang untuk mengetengahkan kreativiti, inovasi dan kebolehan murid melalui hasil penyelidikan serta projek yang dihasilkan.

Tahun ini, simposium itu merekodkan 196 penyertaan daripada 32 sekolah, merangkumi 75 penyertaan Inovasi PdP, 75 Kajian Tindakan dan 46 PBL-STEM Bersepadu.

Samri berkata, penyertaan dalam program seumpama itu juga membolehkan murid membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berfikir serta mengembangkan kreativiti melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.68 Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran simposium secara tahunan memberi peluang kepada setiap sekolah mempamerkan hasil inovasi serta mengenal pasti pasukan terbaik untuk mewakili sekolah masing-masing.

Beliau turut menyifatkan inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu itu sebagai platform penting dalam memberikan pengiktirafan kepada usaha dan pencapaian sekolah dalam bidang inovasi pendidikan.

Oleh Carolyne Utih