Kuching City kehilangan lima tonggak utama menjelang aksi menentang Gangwon

Facebook
WhatsApp
AIDIL Sharin Sahak ketika sidang media pra-perlawanan Kuching City FC menentang Gangwon FC di Stadium Taha Ariffin, di Petra Jaya, hari ini.

KUCHING, 4 November: Kuching City FC berdepan cabaran besar menjelang aksi menentang Gangwon FC apabila sekurang-kurangnya lima pemainnya terpaksa diketepikan akibat kecederaan, sekali gus menjejaskan pilihan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Lebih membimbangkan, dua pemain, Gabriel Peres dan Ronald Ngah Wanja, dijangka berehat selama dua bulan bagi menjalani proses pemulihan.

Aidil berkata, Ronald memerlukan pembedahan lutut, manakala beberapa pemain lain turut mengalami kecederaan sehingga tidak dapat diturunkan dalam perlawanan terdekat.

Selain Gabriel dan Ronald, pemain lain yang turut terjejas ialah Ajdin Mujagic, Jimmy Raymond dan Ahmad Israiwah.

Menurutnya, ketiadaan beberapa pemain utama itu memberi kesan kepada prestasi pasukan, namun beliau mahu melihat situasi berkenaan dari sudut positif.

SKUAD Kuching City FC menjalani sesi latihan terakhir menjelang pertemuan menentang Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) yang akan berlangsung esok.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa ketiadaan pemain utama memberi kesan kepada pasukan. Namun, kita perlu ingat bahawa kita masih berada dalam kelompok tiga teratas liga dan peluang dalam saingan Asia masih terbuka.

“Jadi, saya mahu melihat perkara positif dan memberi tumpuan kepada persiapan pasukan,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Gangwon FC di Stadium Taha Ariffin, di sini, hari ini.

Aidil berkata, pasukan berharap dapat diperkuatkan semula dengan kehadiran pemain yang pulih selepas rehat antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau turut menegaskan bahawa pemain yang masih cergas perlu memikul tanggungjawab untuk memberikan persembahan terbaik, terutama ketika pasukan berdepan jadual perlawanan yang padat.

Kuching City dijadual menentang Gangwon FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok.

Oleh Shahrul Qaizat