SIMANGGANG: Penduduk khususnya golongan generasi muda perlu sentiasa menghormati tiga tarikh bersejarah yang amat penting dalam negara ini.
Ketua Masyarakat Cina Sri Aman, Temenggung Kueh Aik Seng berkata, tiga tarikh sejarah penting yang perlu dihormati oleh semua adalah 31 Ogos, 16 September dan 22 Julai.
“Sejak kebelakangan ini, sering dipersoalkan kewajaran Sarawak menyambut Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos kerana tarikh itu adalah Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
“Lantaran itu, disarankan bahawa 22 Julai dan 16 September merupakan tarikh yang lebih signifikan untuk diraikan oleh kita di Sarawak berbanding 31 Ogos,” katanya.
Bagaimanapun, realitinya kata Kueh, 31 Ogos telah diisytihar sejak 1957 sebagai Hari Kebangsaan dan tidak diubah ketika Persekutuan Malaysia mula dibentuk pada 1963 dengan Gagasan Pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Katanya, pembentukan Persekutuan Malaysia telah dirancang berlangsung pada 31 Ogos 1963 namun beberapa kekangan tertentu telah menyebabkan tarikh itu ditunda kepada 16 September tahun yang sama.
“Oleh itu, tiga tarikh bersejarah ini patut diraikan bagi menyedarkan generasi muda tentang realiti sejarah dan kepayahan pemimpin terdahulu membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka sehingga sekarang,” kata Kueh.
Terdahulu bersama Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum daripada kaum Cina, Melayu dan Iban telah menyertai Program Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 peringkat Bahagian Sri Aman 2024 di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman, semalam.
Program yang dianjur buat julung kalinya atas sifar bajet ini dirasmikan oleh pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh VALENTINE NGUMBANG
Gambar
PATRIOTIK…Mahra Salleh, Temenggong Kueh Aik Seng dan tetamu khas membawa bendera Jalur Gemilang ketika menyertai Program Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Bahagian Sri Aman 2024 di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman, semalam.