KUCHING: Semua pihak perlu menghormati tarikh Hari Kebangsaan 31 Ogos 1957 meskipun mempunyai pengertian yang berbeza berkenaan tarikh itu.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang berkata warga pendidik juga memainkan peranan penting dalam memberi pemahaman yang betul kepada pelajar mengenai setiap tarikh keramat sehingga pembentukan Malaysia pada 16 September.
“Kita memang akur tarikh 22 Julai hingga 16 September adalah Bulan Kebangsaan dan semua warganegara Malaysia harus menghormati semua tarikh keramat yang ada sepanjang tempoh ini.
”Bagi Sarawak, tarikh yang sangat penting ialah 22 Julai iaitu tarikh Sarawak merdeka dan semua kita harus sama-sama meraikannya manakala 31 Ogos adalah tarikh keramat untuk warga Semenanjung dan Sabah yang merupakan dua wilayah dalam pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meminta semua pihak untuk berhenti mempolemikkan tarikh 31 Ogos.
Kullin berkata semua pihak harus menghormati tarikh-tarikh ini bagi memupuk semangat kesepakatan dalam persekutuan Malaysia.
Menurutnya, kesepakatan itu harus ditunjukkan dalam meraikan tarikh 16 September iaitu tarikh pembentukan Malaysia yang telah diisytiharkan secara rasmi.
”Sebagai sebuah kesatuan guru, kita berharap semua warga pendidik menekankan perkara ini dengan betul kepada anak didik kita agar tiada kekeliruan serta semailah semangat patriotik demi Malaysia.
”Sepanjang Bulan Kebangsaan, semua pihak boleh meraikan tarikh-tarikh yang penting agar generasi baharu kita bakal memahami kesepakatan dalam pembentukan Malaysia,” tambahnya.
Semalam, Abang Johari berkata, pengertian berlainan bagi tarikh 31 Ogos tidak harus menjadi halangan kepada rakyat antara ketiga-tiga wilayah untuk saling menghormati bagi membina Malaysia yang progresif dan utuh.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang