Batas pilihan raya mesti hormati keutuhan komuniti –  Violet Yong

Facebook
WhatsApp
ADUN Pending, Violet Yong.

KUCHING: Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya ke-7 Sarawak tidak boleh dilihat sekadar sebagai usaha melukis garisan pada peta kerana proses itu secara langsung memberi kesan terhadap perwakilan politik dan keutuhan komuniti yang telah sedia terbentuk, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalankan proses persempadanan semula secara adil dan telus, selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, SPR perlu mendedahkan dengan jelas data, kriteria dan metodologi yang digunakan dalam menentukan cadangan sempadan baharu, khususnya apabila komuniti sedia ada dipecahkan atau dipindahkan ke kawasan pilihan raya berbeza.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR).

Beliau mengambil contoh Kenyalang Park yang sebelum ini berada dalam kawasan DUN Pending tetapi kini dicadangkan untuk dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Padungan, Pending dan kawasan baharu Tabuan Jaya.

Di bawah cadangan tersebut, kira-kira 6,578 pengundi dari Kenyalang Park akan dipindahkan daripada kawasan Pending ke Tabuan Jaya.

“Kenyalang Park merupakan komuniti yang telah lama wujud dengan sejarah dan identiti komuniti yang jelas.

Penduduknya berkongsi persekitaran kehidupan, infrastruktur, kemudahan awam serta pelbagai isu komuniti yang sama,” katanya.

Yong mempersoalkan mengapa sebuah komuniti yang lengkap perlu dibahagikan kepada tiga kawasan pilihan raya dan mengapa ribuan pengundinya perlu dipindahkan ke kawasan baharu.

Beliau berkata SPR perlu memberikan justifikasi yang mencukupi supaya penduduk dapat memahami asas cadangan tersebut dan mengemukakan pandangan atau bantahan secara bermaklumat.

“Sebuah kawasan pilihan raya bukan sekadar himpunan angka. Ia mengenai rakyat dan komuniti sebenar,” katanya.

Yong menggesa SPR mendedahkan sepenuhnya maklumat yang digunakan dalam proses persempadanan semula serta memberikan penjelasan munasabah berhubung cadangan membahagikan Kenyalang Park.

Katanya, komuniti yang mempunyai kepentingan, infrastruktur, kemudahan awam dan isu bersama sewajarnya, sejauh yang munasabah, dikekalkan dalam kawasan pilihan raya yang sama.

“Batas pilihan raya seharusnya berkhidmat kepada rakyat dan melindungi keutuhan komuniti, bukannya memisahkan rakyat dan komuniti tanpa justifikasi yang mencukupi,” katanya.

Oleh Connie Chieng