KUCHING: Sebanyak 13 kawasan tadahan air di Sarawak turut menjadi sasaran Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 3/2026 yang dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 September.
Operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada tiga empangan hidroelektrik di lima bahagian, iaitu Samarahan, Sri Aman, Betong, Kapit dan Limbang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan hari ini berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada langkah bersepadu kerajaan dalam menangani keadaan cuaca panas dan kering serta kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
Operasi berkenaan bertujuan meningkatkan kebarangkalian hujan, khususnya di kawasan tadahan air, bagi menambah aliran masuk air ke empangan serta menyokong keperluan sumber air untuk sektor domestik dan perindustrian.

Pada masa sama, hujan yang terhasil berpotensi mengurangkan kepekatan bahan pencemar di udara, sekali gus membantu usaha menangani kemerosotan kualiti udara dan kesan jerebu.
Operasi penerbangan berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini dengan pesawat diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 7,000 kaki, tertakluk kepada kewujudan awan yang sesuai dan keadaan atmosfera.
Sebelum dan sepanjang operasi, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan menganalisis keadaan atmosfera menggunakan data radar cuaca, imej satelit, pemerhatian permukaan serta model ramalan cuaca bagi menentukan lokasi, masa dan awan yang sesuai untuk pembenihan.
Apabila kriteria meteorologi dipenuhi, pesawat TUDM akan diterbangkan ke kawasan sasaran untuk melepaskan bahan pembenihan ke dalam awan yang dikenal pasti sesuai.
Setiap penerbangan pembenihan awan menggunakan empat tangki larutan garam dengan setiap tangki mengandungi 200 kilogram garam yang dilarutkan dalam 1,500 liter air.

Perkembangan awan dan taburan hujan kemudiannya dipantau secara berterusan bagi menilai keadaan atmosfera serta hasil operasi berkenaan.
Bagaimanapun, keberkesanan operasi bergantung kepada keadaan atmosfera semula jadi termasuk kewujudan awan sesuai, kelembapan, angin, kestabilan atmosfera dan dinamik awan. Justeru, penerbangan hanya dilaksanakan apabila keadaan meteorologi memenuhi kriteria ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak Energy terus memantau paras air di takungan hidroelektriknya susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
Walaupun paras air di beberapa takungan didapati lebih rendah daripada kebiasaan, keadaan masih terkawal dan bekalan elektrik kekal stabil.
JPBNS turut menasihatkan orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan yang mudah terjejas akibat pencemaran udara supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat atau berbahaya.
Orang ramai disaran mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan, memakai pelitup muka N95 yang dipasang dengan betul sekiranya perlu berada di luar ketika jerebu teruk, mengelakkan aktiviti fizikal lasak di luar serta memastikan tubuh mendapat air yang mencukupi.
JPBNS akan terus memantau keadaan semasa selain menyelaras tindakan pelbagai agensi termasuk menangani titik panas tempatan, memantau kualiti udara dan membantu komuniti yang terjejas akibat kekurangan bekalan air.
Pada peringkat nasional dan serantau, JPBNS juga akan terus bekerjasama melalui saluran berkaitan dalam menangani isu jerebu rentas sempadan serta perkara lain yang memerlukan penyelarasan Kerajaan Persekutuan.
Oleh Norman B



