
MONTERREY, Mexico: Ketua jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo, memikul tanggungjawab atas kekalahan tipis 1-0 pasukannya kepada Afrika Selatan pada 9.00 pagi (waktu Malaysia), sekali gus menyebabkan peluang mereka untuk mara dalam Piala Dunia kini berada pada tahap kritikal.
Hong menggugurkan bintang utama, Son Heung-min, daripada kesebelasan utama dalam perlawanan terakhir kumpulan di Monterrey.
Selepas permulaan baik oleh Korea Selatan, Afrika Selatan tampil lebih dominan dengan permainan lebih kreatif serta serangan yang lebih tajam.
Jaringan separuh masa kedua oleh Thapelo Maseko menjadi penentu perlawanan.
Kekalahan di Mexico itu merupakan perubahan prestasi yang mengejutkan bagi Korea Selatan yang memulakan kempen dengan baik selepas bangkit menewaskan Republik Czech 2-1.
Kekalahan 1-0 kepada tuan rumah bersama Mexico sebelum itu telah memberi tekanan kepada mereka, namun Korea Selatan masih dianggap pilihan untuk mara ke kelompok 32 terbaik ketika menentang Afrika Selatan.

“Kami sentiasa bercakap tentang keputusan,” kata Hong. “Dari segi proses persediaan dan bagaimana kami menerapkannya di atas padang, perkara itu sentiasa saya fikirkan.”
“Sudah tentu, jika kami mengetahui keputusan lebih awal, mungkin saya akan membuat pilihan berbeza, tetapi saya mempunyai strategi tersendiri.”
Jurulatih Korea itu berkata keputusan tersebut adalah tanggungjawabnya.
“Akhirnya, ia kembali kepada saya,” katanya. “Saya rasa saya telah membuat keputusan yang salah dan itulah sebab kami memperoleh keputusan buruk. Tiada yang lain.”
Hong menjelaskan beliau tidak menurunkan Son yang dianggap ramai sebagai pemain Asia terhebat dalam kesebelasan utama bagi memberinya impak pada peringkat akhir permainan.
“Kami berpendapat Son Heung-min lebih berkesan apabila pihak lawan mula keletihan dan ruang lebih terbuka,” katanya.
“Sebab itu kami mahu Son berada pada tahap terbaik ketika itu, manakala lawan pula semakin lemah.”
Walaupun tewas, Korea Selatan masih mempunyai peluang tipis untuk mara ke kelompok 32 terbaik sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik peringkat kumpulan. – AFP