SKRANG, 17 Oktober: HCafe terus menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat setempat menerusi penyaluran sumbangan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Terbaharu, HCafe menyampaikan sumbangan kepada keluarga mendiang Aldreyn Ezekiel Kennedy Kal, bayi berusia sebulan yang meninggal dunia hari ini di Rumah Empading Bunu Skrang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Gruntang Nyanggai, wakil kepada pemilik HCafe, Huang Huat Khai, kepada ahli keluarga mendiang dalam satu kunjungan di rumah panjang berkenaan.
Selain sumbangan berbentuk kewangan, HCafe turut menyumbangkan air minuman serta keperluan makanan harian bagi membantu meringankan beban keluarga yang sedang berdepan saat sukar itu.
Huang Huat Khai berharap sumbangan yang disalurkan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh keluarga mendiang.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi dugaan berkenaan.
“Kehilangan seorang bayi yang masih kecil pastinya meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga yang terlibat.
“Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi ujian ini dan diberikan kekuatan dalam menempuh tempoh yang penuh kesedihan,” katanya.
Oleh Adi Safarman




