KUCHING: Sarawak diunjurkan memungut hasil sebanyak RM11.035 bilion pada 2023, perolehan tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah Bumi Kenyalang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil tertinggi yang pernah diunjurkan setakat ini, mencerminkan pencapaian relatif kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan tabung Sarawak.
“Pendapatan ini diperoleh daripada sumber utama iaitu hasil cukai berjumlah RM5.246 bilion atau 48 peratus.
“Ia terdiri RM4.195 bilion Cukai Jualan Negeri (SST) di mana RM3.2 bilion adalah dari minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM850 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirong sawit mentah; RM60 juta daripada loteri, RM60 juta produk aluminium, RM22 juta arang batu, manakala baki RM3 juta daripada tayar.
“Selain itu, RM550 juta daripada royalti air mentah; RM287 juta daripada royalti hutan, premium kayu dan tarif dan RM214 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain,” katanya dalam pembentangan usul Belanjawan Sarawak 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak turut memungut hasil daripada hasil bukan cukai dianggarkan berjumlah RM5.498 bilion atau 50 peratus.
“Ia akan diperoleh daripada sumber utama iaitu RM2.335 bilion pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas; RM1.864 bilion pendapatan dividen; RM650 juta pendapatan faedah; RM400 juta premium tanah; RM120 juta pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum dan RM129 juta daripada lain-lain, termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa,” katanya.
Dalam pada itu, hasil negeri ini juga adalah dari resit bukan hasil, yang dijangka berjumlah RM26 juta, terutamanya daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula, ganti rugi dan penalti, ganti rugi kerosakan hutan, kompaun lain, dan pelupusan kenderaan dan pemberian dan bayaran balik persekutuan dijangka berjumlah RM265 juta.
Oleh NUR AIN OTSMAN