LUBOK ANTU, 3 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu mengadakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah di Bilik Mesyuarat IPD Lubok Antu, semalam, menyaksikan pertukaran kepimpinan yang memperlihatkan kesinambungan pentadbiran dan pengukuhan pengurusan organisasi.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan tugas oleh Inspektor Jefferson Junit Sebastian kepada Inspektor Hashim Abdullah, yang disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Polis Balai, Ketua-Ketua Cawangan, Pegawai Rendah Polis serta Pegawai Awam Bahagian Pengurusan IPD Lubok Antu.
Menurut Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin, majlis serah terima tugas bukan sekadar proses pertukaran jawatan, malah melambangkan kesinambungan kepimpinan, amanah dan komitmen dalam memastikan pentadbiran organisasi terus berjalan dengan lancar dan berkesan.
“Serah terima tugas ini merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh dedikasi dan integriti demi memastikan kecemerlangan perkhidmatan serta pengurusan organisasi terus dipertahankan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Inspektor Jefferson Junit Sebastian atas komitmen dan khidmat bakti sepanjang 10 bulan 10 hari menerajui Bahagian Pengurusan Daerah.
Menurutnya, sumbangan Jefferson amat signifikan memandangkan beliau turut memegang tanggungjawab sebagai Pegawai Lesen Daerah serta menjalankan tugas hakiki sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah secara serentak.
“Kesungguhan dan dedikasi beliau dalam menggalas pelbagai amanah secara serentak amat dihargai oleh pihak pengurusan dan seluruh warga IPD Lubok Antu,” ujar beliau.
Pada masa sama, DSP Pricha Azin mengucapkan tahniah kepada Inspektor Hashim Abdullah atas pelantikan sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Daerah yang baharu dan berharap beliau dapat melaksanakan amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan serta profesionalisme.
Beliau menegaskan empat aspek utama yang perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan baharu, iaitu mengutamakan integriti dan akauntabiliti, memastikan pentadbiran yang cekap dan sistematik, menjaga kebajikan serta pengurusan sumber manusia, selain memperkukuh budaya kerja berpasukan dalam kalangan warga kerja.
“Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kesatuan, persefahaman dan komitmen seluruh warga kerjanya. Kerjasama erat antara semua Ketua Bahagian perlu terus diperkukuhkan demi mencapai matlamat organisasi,” katanya.
Majlis berakhir dengan nyanyian lagu ‘Sedia Berkhidmat’ yang menjadi simbol semangat dan komitmen warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meneruskan amanah berkhidmat kepada masyarakat, organisasi dan negara.
Dengan berakhirnya satu fasa perkhidmatan dan bermulanya tanggungjawab baharu, warga IPD Lubok Antu menzahirkan penghargaan kepada Inspektor Jefferson Junit Sebastian atas jasa dan sumbangannya.
Serta mengucapkan selamat maju jaya kepada Inspektor Hashim Abdullah dalam menerajui Bahagian Pengurusan Daerah ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang.
Oleh Adi Safarman





