SARIKEI, 17 Oktober: Lebih 37,000 penyertaan disasarkan menerusi 17 aktiviti sukan dan rekreasi yang dianjurkan di seluruh Bahagian Sarikei sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026, dari 16 hingga 18 Oktober ini.
Pemangku Residen Sarikei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan HSN 2026 Peringkat Bahagian Sarikei, Shafrie Saili berkata, sasaran itu mencerminkan usaha memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti fizikal.
Katanya, pelbagai program telah dirancang bagi menarik penyertaan penduduk daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, termasuk golongan muda, dewasa dan warga emas.
“Pada 16 hingga 18 Oktober 2026, sebanyak 17 aktiviti telah dirancang di seluruh Bahagian Sarikei bagi menyemarakkan sambutan HSN.
“Apa yang lebih membanggakan, penganjuran HSN Bahagian Sarikei pada tahun ini menyasarkan lebih 37,000 penyertaan.
“Angka ini bukan sekadar angka, 37,000 penyertaan bermakna 37,000 peluang untuk kita bergerak, bersenam, berkenalan dan membina komuniti yang lebih sihat serta bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan HSN 2026 Peringkat Bahagian Sarikei di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, hari ini.
Katanya, antara aktiviti yang dirancang sepanjang sambutan berkenaan ialah Mass Fit Aerobic, Sarikei Run, Aerobicthon, Pertandingan Lastik serta Larian Denai Hutan Hujan Sebangkoi dan Perkhemahan Glamping.
“HSN bukan sekadar sebuah sambutan yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun.
“Lebih daripada itu, HSN adalah gerakan untuk mengubah cara kita melihat sukan dan kesihatan.
“Sukan bukan hanya untuk atlet atau mereka yang bertanding, sebaliknya sukan adalah untuk semua,” katanya.
Tambahnya, penyertaan dalam aktiviti fizikal perlu merangkumi semua golongan kerana setiap individu berpeluang mengamalkan kehidupan yang lebih aktif tanpa mengira usia atau tahap kecergasan.
Shafrie turut menekankan bahawa matlamat utama pembudayaan sukan bukan sekadar memanjangkan jangka hayat, tetapi memastikan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.
“Kita mahu masyarakat yang bukan sahaja panjang umur, tetapi panjang umur dalam keadaan sihat.
“Kita mahu anak-anak muda yang cergas tubuhnya, sihat fikirannya dan tinggi semangatnya.
“Kita mahu keluarga yang aktif, komuniti yang bersatu dan Sarikei dikenali sebagai sebuah bahagian yang mempunyai masyarakat yang aktif, sihat, cergas dan bersatu padu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata HSN 2026 turut mengetengahkan tema ‘Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan’ yang menghubungkan perkembangan teknologi dengan usaha menggalakkan gaya hidup aktif.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi menarik minat generasi muda supaya memanfaatkan kemajuan teknologi sebagai alat sokongan kepada aktiviti fizikal, bukannya penghalang untuk bersukan.
“HSN 2026 tampil dengan tema ‘Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan’, yang membawa pendekatan baharu dalam menghubungkan kemajuan teknologi dengan budaya hidup aktif.
“Tema ini selari dengan perkembangan semasa, khususnya dalam menarik minat generasi muda supaya melihat teknologi bukan sebagai penghalang kepada aktiviti fizikal, tetapi sebagai alat yang boleh membantu kita menjadi lebih aktif dan sihat,” katanya.
Katanya, kejayaan penganjuran program berskala besar seperti HSN memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan sukan dan komuniti setempat.
“Saya percaya kekuatan utama HSN Bahagian Sarikei bukan terletak pada penganjur semata-mata. Kekuatan sebenar program ini terletak pada kerjasama semua pihak.
“Kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian. Kita memerlukan sokongan jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, persatuan sukan, NGO, kelab belia, sektor swasta, komuniti dan sukarelawan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, jabatan dan agensi kerajaan, rakan strategik, persatuan serta kelab sukan, penganjur aktiviti dan sukarelawan atas komitmen menjayakan sambutan tersebut.
Menurutnya, kejayaan penganjuran program bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya bergantung pada semangat berpasukan dan kesediaan semua pihak untuk bekerjasama.
Shafrie turut menyeru masyarakat Sarikei supaya meneruskan amalan bersukan dan beriadah walaupun sambutan HSN berakhir.
“Saya ingin mengajak seluruh masyarakat Sarikei agar jangan menjadikan HSN sebagai acara sehari sahaja.
“Biarlah semangat bersukan ini kita bawa pulang ke rumah, bersama keluarga, ajak anak-anak, jiran dan rakan sekerja serta mulakan dengan perkara yang mudah,” katanya.
Oleh Earl Anek





