KUCHING: Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting berasa bangga kerana Miri telah dipilih untuk menjadi penganjur Hari Sarawak tahun ini.
Beliau berkata Hari Sarawak adalah penting untuk semua warga Sarawak mengingati pengorbanan dan sumbangan yang dibuat oleh pemimpin terdahulu dalam memberi kemerdekaaan kepada Sarawak.
Ting berkata cabaran yang dihadapi oleh Sarawak sekarang adalah untuk mengekalkan hubungan dengan kerajaan persekutuan dan mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963, Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Akta Malaysia 1963 (Perkara 35) dan Perlembagaan Persekutuan dan Sarawak.
“Adalah menjadi harapan semua warga Sarawak untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian serta mempertahan kedaulatan Sarawak, autonomi imigresen, sumber minyak dan gas, dan Ordinan Sarawak.
“Kita juga mesti mendapat balik autonomi pendidikan, kesihatan dan pelancongan Sarawak,” kata Ting.
Berkenaan perwakilan di dalam Parlimen, Ting berkata jumlah kerusi Sabah dan Sarawak kini Cuma 25% daripada 222 kerusi di Parlimen yang tidak cukup untuk mempertahankan perlembagaan.
“Jadi, adalah penting untuk kita memperjuangkan supaya lebih dari satu pertiga kerusi Parlimen diberikan kepada Sarawak dan Sabah seperti pada 1963,” kata Ting.