SIBU: Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) akan mengadakan Hari Kesihatan Sibu Satu Hari: Kesedaran Buah Pinggang 8 Oktober ini di Pusat Sumber Akademik/Perpustakaan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Acara yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi ini diadakan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Inovasi dan Pembangunan Lestari (CRISD) UTS.
SKF dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa program bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan buah pinggang.
“Selain itu, turut disediakan perkhidmatan konsultasi dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat.
“Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk Ceramah Kesedaran Buah Pinggang bertajuk ‘Jaga Buah Pinggang Anda’ pada 8.30 pagi, serta ujian darah untuk kesihatan, glukosa, dan tahap kolesterol,” katanya.
SKF juga mengumumkan bahawa 100 peserta pertama yang mendaftar dalam talian akan mendapat ujian glukosa dan kolesterol percuma, dengan keutamaan diberikan kepada individu berumur 50 tahun ke atas.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi pengumpulan baucar ujian percuma yang akan tersedia sehingga 9.30 pagi.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh melayari www.crisd.uts.edu.my, mengimbas kod QR, atau menghubungi Dr Francis Tieng di talian 018-2363653 atau April Wong di 016-8701178.