SIBU: Sebanyak 22 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) terbabit dalam program Hari Kerjaya dan Pendidikan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Pejabat Pendidikan Negeri Sarawak, Yayasan Sarawak dan UTS.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi san Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee diwakili oleh Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak, Louis Simon Peter menyempurnakan majlis perasmian itu.
Louis berkata, Hari Kerjaya dan Pendidikan bertujuan menyebarkan maklumat mengenai peluang kerjaya dan peluang melanjutkan pelajaran kepada pelajar.
“Penganjuran program ini dengan harapan pelajar Tingkatan 5 dan 6 boleh meneroka, mencari dan mengumpulkan maklumat kerjaya yang sesuai serta peluang melanjutkan pelajaran.
“Melalui program pada hari ini, pelajar dapat didedahkan maklumat mengenai peluang pendidikan tajaan Yayasan Sarawak,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Ahli Chikba berkata, objektif program ini untuk memperkasakan PIBKS yang merupakan salah satu Inisiatif #62 di bawah Anjakan 9 dari 13 fokus utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Anjakan itu acdalah ke arah mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula pada 2013 hingga mencapai matlamat sepenuhnya pada 2025.
Katanya, dalam Pelan Strategik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu 2023-2025, pihak PPD telah meletakkan strategi bagi mengeratkan hubungan jalinan dan jaringan melalui PIBKS.
“Usaha yang dilakukan pada hari ini merupakan pelan tindakan yang dirancang bagi mencapai matlamat itu.
“Antara aktiviti penting yang diadakan sepanjang Hari Kerjaya dan Pendidikan, selain pameran kerjaya ialah ceramah oleh pihak Yayasan Sarawak mengenai jenis tajaan ditawarkan oleh kerajaan kepada anak murid yang ingin melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan di Tingkatan Lima dan Enam serta peluang kerjaya iaitu maklumat pekerjaan oleh agensi,” katanya.
Katanya, pameran kerjaya ini dapat memberi manfaat kepada pelajar khususnya bakal graduan mengenai peluang pekerjaan dan persiapan diri bagi membina kerjaya selepas tamat pengajian.
“Dalam situasi sekarang bekas pelajar tidak boleh terlalu memilih kerja. Mereka perlu juga memikirkan kerja yang sesuai dengan ilmu yang dituntut semasa di sekolah supaya ilmu itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya agar menjadi modal insan berkemahiran tinggi sejajar dengan pelaburan tinggi yang dibelanjakan oleh kerajaan,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN