KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi pada minggu depan berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutamanya melibatkan harga beras.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akan membentangkan kertas menteri bagi menjelaskan dan mengumumkan kenaikan harga lantai berkenaan.
“Kenaikan harga lantai ini akan menyebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna. Jadi bagaimana kita nak imbangi ini, naik harga (belian padi) bagi pesawah akan naik harga (beras) bagi pengguna, kita tidak mahu naik bagi pengguna.
“Jadi setakat ini saya bincang dengan Kementerian Kewangan supaya kerajaan akan menampung subsidi supaya harga pasaran beras tempatan bagi pengguna tidak dinaikkan, maknanya kerajaan akan tampung lagi (subsidi) sekitar RM150 juta untuk enam bulan, itu akan dimuktamadkan dalam masa singkat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan gesaaan golongan pesawah untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 setan metrik.
Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.
Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau faham mengenai isu tersebut dan telah pun meneliti memorandum berkaitan yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) selain turut berbincang bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bagaimanapun, beliau menempelak pembangkang yang dilihat seolah-olah cuba menafikan usaha kerajaan untuk membantu golongan pesawah dalam menaikkan harga lantai belian padi, sedangkan mereka sendiri tidak berbuat apa-apa ketika mentadbir negara sebelum ini.
“Jangan nafikan, ini kenyataan. Kamu bising-bising, riuh-rendah sekampung angkut orang dengan bas tapi masa kamu perintah kamu tak naik (harga lantai belian padi), kami yang naikkan.
“Kita tidak boleh bicara satu pihak bagi nak pertahankan pengguna memangsakan pesawah atau naikkan pesawah memangsakan pengguna kerana pengguna miskin B40 pun ramai,” katanya.
(Berita penuh menyusul…)